Trending Top 10! Achey Ceriakan Syawal Menerusi Naskhah ‘Nak Balik Raya’ & ‘Ibu Raya’
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Mar 2026 2:30 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelawak serba boleh, Achey, tampil merancakkan lagi sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini dengan melancarkan dua buah lagu raya baharu yang diberi judul “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”.
Walaupun kedua-dua karya ini digarap dengan pendekatan yang berbeza, ia tetap berkongsi mesej utuh yang sama, iaitu mengangkat nilai kekeluargaan, menterjemahkan kegembiraan pulang ke kampung, serta merangkum keindahan meraikan bulan Syawal bersama insan tersayang.

Bagi lagu “Nak Balik Raya”, Achey mengambil langkah istimewa dengan menampilkan ahli keluarganya sendiri, iaitu isteri dan anak perempuannya, Tiara, bagi menghidupkan elemen kekeluargaan yang nyata. Naskhah berkonsepkan ceria dan santai ini menceritakan gambaran sebenar suasana serta persiapan orang ramai yang sedang teruja untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menariknya, Achey turut mendedahkan bahawa karya ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya sendiri pada awal penglibatannya sebagai seorang artis. Pengalaman tidak sempat pulang berhari raya mahupun terpaksa berdepan dengan situasi ‘raya mengejut’ diselitkan di dalam lagu ini bagi membangkitkan rasa nostalgia perjalanan pulang ke desa buat para pendengar.
Beliau juga menitipkan mesej mendalam buat generasi masa kini agar terus memelihara budaya pulang ke kampung pada setiap kali tibanya Aidilfitri, berbanding hanya memilih untuk beraya di kawasan bandar.
Mesej ini ternyata berjaya menambat hati peminat apabila muzik video “Nak Balik Raya” meledak dan berjaya menduduki carta Top 10 trending untuk muzik di platform YouTube sebaik sahaja ia dimuat naik pada 28 Februari 2026, malah kini menghampiri angka 500,000 jumlah tontonan!

Selain karya yang rancak, Achey turut mengimbangi ‘mood’ perayaan peminatnya dengan melancarkan lagu kedua yang berjudul “Ibu Raya”. Untuk lagu ini, beliau telah berkolaborasi bersama penyanyi cilik yang sedang meningkat naik, Tantari, serta dua lagi bakat muda iaitu Dahlya dan Rayyan.
Biarpun ia masih membawa kemeriahan hari raya, fokus utama “Ibu Raya” lebih dihalakan kepada pengorbanan serta peranan seorang ibu, di samping menebalkan rasa kasih sayang antara ahli keluarga sewaktu menyambut kedatangan bulan Syawal.
Achey menaruh harapan yang tinggi agar kedua-dua naskhah ini diterima baik oleh orang ramai dan menjadi peneman setia sepanjang perjalanan mereka pulang ke kampung kelak. Beliau amat mengalu-alukan agar lagu-lagu ini diputarkan secara meluas di corong radio, di dalam bas, pusat beli-belah, sehinggalah ke tapak bazar Ramadan dan bazar raya bagi membangkitkan lagi kemeriahan suasana.
Bagi peminat yang ingin memeriahkan senarai main (playlist) raya mereka dengan elemen ceria, nostalgia, dan kasih sayang, lagu “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya” terbitan Seventeen Eleven Music ini sudah pun boleh distrim menerusi semua platform penstriman muzik digital yang utama. Muzik video rasmi untuk kedua-dua lagu ini juga sedia untuk ditonton menerusi saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.
