Alamanda Putrajaya Santuni Kanak-Kanak Amal Rukaiyah Menerusi Program Beli-Belah Raya
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 Mar 2026 11:40 pm
PUTRAJAYA – Menyemarakkan lagi keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, Pusat Beli-Belah Alamanda telah menganjurkan sebuah program istimewa dengan meraikan kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah pada 5 Mac 2026.
Program persediaan raya dan jalinan mesra komuniti ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak pengurusan dalam memastikan golongan kanak-kanak yang kurang berkemampuan turut merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini apabila mereka pada mulanya dibawa merasai pengalaman membeli-belah baju raya pilihan masing-masing di butik Gene Martino. Keterujaan mereka terus ditambah dengan tajaan sepasang kasut baharu buat setiap kanak-kanak sumbangan jenama Bata, bagi melengkapkan lagi persiapan hari raya mereka.

Selain merasai pengalaman membeli-belah, kanak-kanak ini turut berpeluang mengasah bakat dalam seni kraf tradisional Malaysia menerusi bengkel pembuatan Wau Bulan mini dan anyaman ketupat. Aktiviti amali ini secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka untuk terus menghargai warisan budaya di samping merasai kehangatan semangat perayaan.

Bagi menceriakan lagi sambutan perayaan mereka, Pusat Beli-Belah Alamanda tidak melepaskan peluang untuk mengagihkan sumbangan duit raya kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada Browniemunch yang bermurah hati menyumbangkan biskut dan brownies yang lazat, berserta wang duit raya tambahan bagi menyerikan lagi lebaran mereka.
Menjelang waktu maghrib, program yang penuh bermakna ini disudahi dengan majlis berbuka puasa yang berlangsung mesra di restoran Chakri Village. Majlis tersebut telah merapatkan lagi ukhuwah apabila kanak-kanak ini berpeluang menikmati juadah bersama pihak pengurusan Alamanda serta rakan-rakan media.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, keindahan sebenar Hari Raya terserlah apabila kita dapat berkongsi kegembiraan tersebut bersama orang lain. Beliau menyifatkan bahawa senyuman kanak-kanak sewaktu memilih pakaian dan kasut raya mereka mengingatkan kita tentang erti sebenar musim perayaan ini, di mana Alamanda bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk membeli-belah, tetapi juga sebagai sebuah ruang untuk mencipta kenangan dan membuktikan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Program tanggungjawab sosial ini merupakan nadi utama kepada kempen Hari Raya 2026 Alamanda yang turut mempertaruhkan dekorasi taman bunga kertas (Bougainvillea Garden) di ruang Centre Court. Pada masa yang sama, pusat beli-belah ini terus memperjuangkan inisiatif sosial dan kebajikan menerusi penjualan ‘Green Ribbon Pins’ sepanjang tempoh kempen berlangsung bagi menyokong usaha kesedaran kesihatan mental.
