Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik dengan Peneraju Sistem Pengangkutan Pintar Eropah
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Mar 2026 2:57 pm
AMSTERDAM – Malaysia kini sedang mempergiatkan usaha memperkukuh kerjasama strategik dengan peneraju Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport Systems, ITS) di Eropah bagi memacu pembangunan ekosistem mobiliti pintar negara. Langkah proaktif ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Induk ITS Malaysia 2025-2030 melalui sesi libat urus yang diketuai oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sempena acara Intertraffic Amsterdam 2026.
Dalam siri pertemuan tersebut, Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama organisasi utama seperti ERTICO – ITS Europe, ITS Jerman, dan Connekt / ITS Netherlands untuk meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan digital dan mobiliti pintar.
Menurut Dato Sri Alexander, libat urus ini mencerminkan komitmen jitu Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem pengangkutan yang lebih pintar, berasaskan data, serta diperkasa oleh teknologi terkini. Malaysia melihat peluang besar untuk memanfaatkan pengalaman luas negara-negara Eropah dalam melaksanakan penyelesaian pengurusan trafik digital, integrasi data mobiliti, serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan sistem pengangkutan nasional.
Perbincangan bersama ERTICO – ITS Europe secara khusus menyentuh mengenai perkongsian penyelidikan, pembangunan kapasiti, serta penyertaan dalam program ITS antarabangsa. Malah, ERTICO Academy turut menawarkan program latihan khusus yang berpotensi disesuaikan bagi menyokong pembangunan profesional mobiliti di Malaysia. Selain itu, pertemuan bersama ITS Jerman memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari inisiatif Artificial Intelligence and Mobility (AIAMO) yang mengintegrasikan AI dan data alam sekitar bagi mengurus kecekapan trafik serta perancangan pengangkutan multimodal yang lebih lestari. Manakala melalui Connekt / ITS Belanda, Malaysia meneliti kepimpinan negara tersebut dalam pengurusan trafik bersepadu dan platform inovasi kolaboratif.
Kerjasama ini dijangka mempercepatkan penerapan teknologi seperti data mobiliti dan inovasi digital untuk menyokong sistem pengangkutan yang lebih responsif terhadap keperluan alam sekitar dan keselamatan rakyat. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Dato Sri Alexander turut mengambil kesempatan menjemput rakan industri antarabangsa untuk menyertai beberapa platform penting di Malaysia. Antara acara yang akan dianjurkan termasuklah Malaysian Roads Maintenance Convention di bawah MY ASEAN Roads and Traffic Expo and Conference (MYARTTE) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober 2026, serta Malaysia Road Conference 2026 pada 13 hingga 15 Oktober 2026.
Kehadiran rakan antarabangsa ini amat dialu-alukan bagi memperkukuh usaha pertukaran pengetahuan demi membangunkan sistem mobiliti yang lebih pintar, selamat, dan mampan di peringkat global
