Tenera Hotel Sajikan Bufet Ramadan Citarasa 3 Negara Menerusi Konsep Kelestarian ESG
- oleh Editor MYBUZZ
- 26 Feb 2026 5:00 pm
BANGI – Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, Tenera Hotel & Suites di Bangi tampil dengan kelainan yang cukup bermakna apabila menyepadukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam penganjuran bufet Ramadan mereka.
Mengangkat tema memikat “Serantau Desa, Citarasa Mendunia”, destinasi hospitaliti ini bukan sahaja menyajikan kelazatan hidangan autentik dari Malaysia, Thailand, dan Indonesia, malah membawa mesej penting untuk mendidik tetamu mengelakkan pembaziran makanan sepanjang bulan puasa.

Berbeza dengan lambakan bufet Ramadan yang sering dikaitkan dengan isu lebihan makanan, Tenera Hotel & Suites mengambil langkah proaktif mempraktikkan sasaran sifar pembaziran. Antara inisiatif hijau yang diperkenalkan termasuklah penyediaan makanan secara berperingkat untuk mengelak lebihan, pengurusan sisa yang lebih sistematik, dan penggunaan bahan mesra alam.
Menurut Pengurus Besar hotel, Encik Fadzly Hamzah, pendekatan mampan ini mampu mengurangkan pelepasan karbon serta beban di tapak pelupusan sampah, di samping mendidik jiwa tetamu tentang kesederhanaan dan rasa syukur.
Inisiatif positif ini turut mendapat sokongan padu daripada barisan selebriti tanah air yang prihatin, termasuk Datin Alyah, Baby Shima, Zaki Yamani, dan Adam AF. Penyanyi Baby Shima memuji langkah hotel tersebut kerana berjaya mendidik pelanggan agar mengambil makanan mengikut kemampuan, manakala Datin Alyah menyifatkannya sebagai satu langkah progresif dalam industri perhotelan untuk menyemai kesedaran kelestarian alam.
Menjanjikan pengalaman kulinari yang memuaskan selera, Cef Eksekutif, Sahisal Azrul Mat Said membawa tetamu ‘mengembara rasa’ merentasi tiga negara berbeza, Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam satu hidangan malam berbuka.
Deretan menu istimewa yang dihidangkan menggunakan teknik masakan autentik merangkumi pelbagai citarasa serantau seperti Dalcha Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Ayam Pop, Rendang Riau, Nasi Khao Mok Kambing Panggang, dan Tom Yam Merah.

Bagi anda yang merancang untuk meluangkan masa berkualiti sambil menyokong kelestarian alam, bufet ini akan berlangsung di Grand Ballroom bermula 20 Mac 2026 sehingga 18 April 2026. Harga yang ditawarkan amat berpatutan, iaitu RM148+ bagi tetamu dewasa dan RM78+ bagi kanak-kanak.
Selain itu, hotel yang pernah merangkul anugerah hospitaliti mesra Muslim berprestij ini turut menawarkan Pakej Ramadan Staycation bermula dari RM390+ untuk penginapan Bilik Superior, yang sudah dirangkumkan bersama bufet Ramadan dan sahur untuk dua orang.




















