Ikuti Kami:

Prekuel ‘Raya Mana?’: Nabila Razali Bakal Meriahkan Aidilfitri Dengan ‘Tak Sabar Nak Raya!’

Prekuel ‘Raya Mana?’: Nabila Razali Bakal Meriahkan Aidilfitri Dengan ‘Tak Sabar Nak Raya!’

KUALA LUMPUR – Setelah fenomena lagu “Raya Mana?” mencetuskan tular dua tahun lalu, penyanyi kesayangan ramai, Nabila Razali kini kembali menghangatkan suasana musim perayaan dengan buah tangan terbaharu berjudul “TAK SABAR NAK RAYA!”.

Perkara itu diumumkan secara rasmi dalam satu majlis sidang media dan berbuka puasa di Matrade, Kuala Lumpur yang berlansung semalam, pelancaran single ini pastinya mengubat kerinduan peminat terhadap karya raya penyanyi genit tersebut.

Berbeza dengan sangkaan awal, naskhah terbaharu ini rupanya bukanlah kesinambungan kepada lagu “Raya Mana?”, sebaliknya ia merupakan sebuah prekuel yang melengkapkan naratif kisah raya Nabila.

Prekuel 'Raya Mana?': Nabila Razali Bakal Meriahkan Aidilfitri Dengan Tak Sabar Nak Raya

Nabila, atau lebih mesra disapa Bella, mendedahkan bahawa lagu ini menceritakan pengalamannya sebelum mendirikan rumahtangga, ketika dia masih tinggal bersama bapa dan abang-abangnya serta keluar merantau bekerja di bandar.

Lebih romantis, video muzik (MV) ini turut menceritakan titik awal pertemuannya dengan Aizat Saha yang turut membuat kemunculan dalam MV ini.

Lagu yang mendapat sentuhan emas komposer Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin, dan Asyraf Nasir ini mengangkat tema keterujaan yang jujur apabila Ramadan hampir melabuhkan tirai.

Ia merangkumi debaran sebelum pulang ke kampung, angan-angan mengira duit raya, serta persiapan busana raya. Malah, Nabila sendiri telah meminta agar bahagian korus disuntik dengan rentak ‘joget lambat’ untuk menambah elemen keceriaan.

Prekuel 'Raya Mana?': Nabila Razali Bakal Meriahkan Aidilfitri Dengan Tak Sabar Nak Raya

Kehangatan lagu ini turut diwarnai dengan penampilan khas pengacara tersohor, Haji Nabil Ahmad, yang mengambil masa selama empat jam di studio rakaman dan menceriakan suasana dengan idea-idea jenaka spontannya.

Bagi melengkapkan karya visualnya, MV “TAK SABAR NAK RAYA!” telah menjalani proses penggambaran selama 12 jam di sebuah rumah kampung tradisional di Hulu Langat, ditemani pelbagai cabaran cuaca yang tidak menentu.

Namun, kemeriahan visual ini berjaya direalisasikan dengan penglibatan rakan-rakan industri dan pempengaruh media sosial seperti Aggy, King Oyen, Adik Yusuf, dan Shaffiq Erwin. Tambah mengujakan, karya ini juga telah dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi bagi mini siri 20 episod lakonan Nabila berjudul Di Sebalik Cahaya Raya yang mula ditayangkan di platform Viu pada 26 Februari 2026.

Single “TAK SABAR NAK RAYA!” ini diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment, Sony Music Entertainment Malaysia, serta Malika Entertainment & Management. Para pendengar boleh mula menstrim lagu berentak ceria ini di semua platform muzik digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music bermula 27 Februari 2026.

Loading...