Syamel Tinggalkan Balada? ‘PERTAMA’ Bukti Evolusi Muzik Paling Berani!
- oleh Editor MYBUZZ
- 29 Apr 2026 2:09 pm
KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini vokalnya sering dikaitkan dengan lagu-lagu balada yang meruntun emosi, penyanyi bersuara lantang, Syamel, kini memecah tradisi peribadinya. Menerusi single terbaharu berjudul “PERTAMA”, Syamel tampil merombak gaya nyanyiannya dengan nuansa yang lebih santai, penuh karakter (attitude), dan berani.
Lagu yang mendapat sentuhan magis komposer dan penerbit prolifik, Edry Abdul Halim ini secara rasminya membuka lembaran baharu buat karier seni Syamel. Karya segar ini menyajikan sisi muzik yang lebih groovy dan moden, namun bijak disulami dengan elemen bunyi vintaj yang menjadikannya cukup unik serta berbeza daripada diskografi terdahulunya.

Menurut Syamel, kolaborasi bersama Edry telah memberikan dimensi baharu yang menuntut anjakan pada kualiti vokalnya.
“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan ‘PERTAMA’ sangat menarik untuk diterokai,” jelas penyanyi itu mengenai transformasinya.
Menyentuh soal naratif, “PERTAMA” menterjemahkan tema cinta pandang pertama menerusi dimensi yang lebih luas dan terbuka. Ia bukan sekadar perasaan cinta sesama manusia, tetapi merangkumi keterujaan spontan atau rasa “klik” pada pandangan pertama terhadap apa sahaja yang menyentuh hati, termasuklah kereta atau rumah impian. Syamel menyifatkan lagu ini sebagai keraian kepada momen sukar dijelaskan yang mampu membuahkan rasa bahagia.

Bagi menterjemahkan visi tersebut ke dalam bentuk visual, video muzik rasmi “PERTAMA” dikemudi dengan konsep sinematik yang memaparkan pertemuan ringkas dua individu asing. Kisah yang mekar menjadi cinta sempurna itu bagaimanapun hanyalah sebuah imaginasi kilat, memancarkan sisi lucu dan manis fantasi cinta pandang pertama. Penceritaan visual ini turut diserikan dengan penampilan personaliti media sosial, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander yang membawa elemen segar.
Di sebalik evolusi muziknya, single ini membawa nilai sentimental yang mendalam kerana ia didedikasikan khusus buat para peminat yang menyokong perjalanan seninya sejak awal. Menyifatkan peminat sebagai insan pertama yang mempercayai bakatnya, Syamel berkata, “Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya”.
Kehadiran “PERTAMA” bukan sekadar karya baharu, sebaliknya simbolik evolusi berani yang bakal mewarnai naratif seninya selepas ini. Syamel turut memberi bayangan bahawa ini hanyalah titik mula kepada pelbagai lagi cerita dan kejutan yang akan dikongsikan. Orang ramai sudah boleh mula menstrim “PERTAMA” di seluruh platform digital sejak 24 April 2026. Dalam pada itu, tarikh pelancaran video muzik rasmi pula akan diumumkan oleh Syamel menerusi platform media sosialnya kelak.
