Hampir Sold Out, Wali Band Bersedia Gegar Stadium Hoki Bukit Jalil 1 Mei Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 29 Apr 2026 11:02 am
KUALA LUMPUR: Gelombang kumpulan muzik popular dari Indonesia, Wali Band terbukti masih berbisa apabila hampir 90 peratus tiket konsert solo mereka di ibu negara telah pun habis terjual. Dianjurkan oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, KONSERT WALI KEMBALI itu bakal menggegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026 ini.
Bagi para peminat, penganjuran konsert berskala besar ini merupakan peluang keemasan yang paling dinanti-nantikan untuk melepaskan rindu, terutamanya selepas mereka tidak berpeluang menikmati seleksi lagu hit seperti ‘Aku Bukan Bang Toyib’, ‘Tobat Maksiat’, ‘Yank’, ‘Cari Jodoh’ dan ‘Baik-Baik Sayang’ secara menyeluruh sewaktu konsert RadjaWali pada awal tahun ini.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris mengakui sambutan pantas yang diterima adalah di luar jangkaan dan amat membanggakan pihak mereka.
“Kami amat berbesar hati melihat sokongan padu daripada peminat di Malaysia. Ini membuktikan bahawa muzik Wali Band masih relevan dan dekat di hati ramai,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan dan komitmen untuk menyajikan pengalaman konsert yang lebih berkualiti tinggi dari sudut produksi demi memastikan kepuasan maksimum penonton. Dalam pada itu, kumpulan yang dibarisi oleh Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) ini mengakui sudah tidak sabar untuk beraksi di pentas Kuala Lumpur.
Vokalisnya, Faank meluahkan rasa kagum dengan respons luar biasa ketika menjayakan konsert solo di Kota Kinabalu, Sabah awal bulan ini dan berharap dapat menyerap energi yang sama di ibu kota.
“Apatah lagi, kali ini kami kembali dengan konsert solo. Ia merupakan satu penghormatan besar buat kami, dan kami hanya ingin menghiburkan para peminat serta menebus kekecewaan mereka dengan mempersembahkan lagu-lagu hit kami,” jelas Faank.
Tambahnya lagi, Wali Band kini lebih bersedia untuk membawakan pengalaman yang bertenaga dengan susunan muzik yang lebih segar serta interaksi lebih dekat, di samping mengajak peminat untuk turut menyanyi bersama (‘sing along’).

Bagi melancarkan pergerakan, para pengunjung dinasihatkan agar tiba di lokasi seawal jam 4 petang bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ekoran terdapat penganjuran acara besar lain di sekitar Bukit Jalil pada tarikh tersebut.
Sebagai nilai tambah, pelbagai aktiviti menarik dan persembahan hiburan daripada DJ turut disediakan di luar perkarangan stadium bagi memeriahkan suasana buat penonton yang datang awal.
Kepada peminat yang masih belum memiliki pas masuk, pembelian segera amat digesa dengan melayari laman web www.ilassotickets.com bagi mengelakkan kekecewaan berikutan baki tiket yang kini semakin terhad. Maklumat terkini juga boleh didapati menerusi laman media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
