Kenali Pakar Kek LinLin Cake Shop, Szu Lin Wakili Malaysia Berentap Dengan Cef Asia Tenggara Dalam Siri Realiti Korea ‘Bite Me Sweet’
- oleh Editor MYBUZZ
- 28 Apr 2026 1:45 pm
KUALA LUMPUR – Nama Malaysia sekali lagi harum di persada antarabangsa apabila pembuat kek premium terkenal, Szu Lin, dipilih sebagai wakil tunggal negara dalam siri realiti makanan terbaharu terbitan Viu Original, Bite Me Sweet.
Szu Lin, yang merupakan tulang belakang di sebalik jenama tular LinLin Cake Shop, bakal mempamerkan kreativiti luar biasanya dalam menghasilkan pencuci mulut yang bukan sahaja enak, malah estetik. Mempunyai pengaruh besar dengan lebih setengah juta pengikut di media sosial, penyertaan beliau dianggap sebagai satu pengiktirafan buat industri kulinari dan seni pastri tempatan.

Szu Lin
Uniknya, program yang dihoskan oleh pelakon popular Yoon Shi-yoon ini bukan sekadar pertandingan memasak biasa. Bite Me Sweet menggabungkan lima Cef Pastri wanita terbaik dari rantau Asia Tenggara dengan lima selebriti kacak dari Korea Selatan.
Szu Lin akan bersaing bersama barisan bintang seperti Lee Sae-on, Sung Seung-ha, Cha Joo-wan, Bae Min-ki, dan Lim Sung-kyu. Gandingan ini ditugaskan untuk menyahut cabaran menghasilkan pencuci mulut yang diinspirasikan oleh budaya snek Korea, namun tetap menyuntik identiti unik dari negara masing-masing termasuk Hong Kong, Thailand, dan Filipina.

Selain memfokuskan kepada inovasi kulinari, siri ini turut mengangkat elemen gaya hidup visual yang menggabungkan aspek makanan, kecantikan, dan fesyen. Ia merupakan satu pengalaman tontonan menyeluruh yang menunjukkan bagaimana makanan boleh menjadi ekspresi emosi dan budaya yang melampaui sempadan.
Apa yang lebih menarik, pasukan yang berjaya merangkul gelaran juara bakal memenangi peluang keemasan untuk membuka pop-up store rasmi Bite Me Sweet di Singapura. Ini sekaligus memberi platform kepada pemenang untuk membawa jenama mereka dari kaca televisyen ke pasaran global yang lebih luas.

Bagi peminat seni pastri dan peminat tegar gelombang Korea (K-Wave), jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan wakil kita. Bite Me Sweet telah mula ditayangkan secara eksklusif di semua platform penstriman Viu bermula 17 April 2026 yang lalu.
Adakah sentuhan magis Szu Lin mampu menambat hati juri dan mengharumkan nama Malaysia di Singapura nanti? Sama-sama kita nantikan!
