Ikuti Kami:

Sihir, Jin & Komedi Gelap! Zahir Omar Teroka Dunia Mistik Menerusi ‘MIKAEL: Pemburu Dua Alam’

Sihir, Jin & Komedi Gelap! Zahir Omar Teroka Dunia Mistik Menerusi ‘MIKAEL: Pemburu Dua Alam’

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan naskhah neo-noir Fly by Night (2018) yang memukau layar antarabangsa menerusi tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Busan, pengarah berkaliber Zahir Omar kini kembali dengan sebuah naskhah rantaian genre baharu. Menggabungkan elemen aksi mendebarkan, seram, dan komedi gelap, MIKAEL: Pemburu Dua Alam secara rasminya melakar sejarah sebagai filem aksi-komedi-seram pertama seumpamanya di Malaysia.

Bekerjasama dengan penulis dan penerbit June Tan dari Wild East Studios, Zahir dilihat berani melangkah keluar dari zon selesanya untuk meneroka dunia ghaib dan mitologi tempatan yang di luar kotak. Filem yang diklasifikasikan sebagai P16 serta berdurasi 120 minit ini menjanjikan kelainan dalam mengolah naratif penuh ketegangan dengan suntikan humor yang segar.

Sihir, Jin & Komedi Gelap! Zahir Omar Teroka Dunia Mistik Menerusi 'MIKAEL: Pemburu Dua Alam'

Malam gala tayangan pelancarannya berlangsung dengan penuh meriah malam tadi di GSC Mid Valley Megamall. Majlis yang dihadiri oleh barisan pelakon dan kru produksi itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching serta peminat-peminat filem melayu tempatan.

MIKAEL: Pemburu Dua Alam mengikuti kisah Mikael (lakonan Datuk Remy Ishak), seorang pegawai polis elit yang masih bergelut dengan emosi susulan kehilangan adiknya. Konflik bermula apabila dia ditugaskan untuk menyiasat satu insiden pembunuhan beramai-ramai di sebuah majlis perkahwinan di pekan kecil, yang mana mengejutkan, telah didalangi oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Siasatan mendalam itu telah membawanya kepada satu penemuan kuasa jahat purba, di mana seorang Penguasa Jin merancang untuk menakluki dunia manusia dengan cara menumbangkan tujuh orang pelindung. Demi menyelamatkan keadaan, Mikael kini perlu berlumba dengan masa untuk mencari sebuah artifak purba yang mampu menghalang kemaraan kuasa tersebut.

Menariknya, Mikael tidak berjuang sendirian dalam misinya. Dia dibantu oleh sekumpulan rakan luar biasa yang masing‑masing memiliki karakter unik dan peranan tersendiri. Antaranya ialah Winston, (lakonan Norreen Iman), seorang penjual ramuan sihir hitam yang penuh keanehan namun menjadi aset penting dalam penerokaan dunia ghaib. Turut membantu ialah Sarjan Kok, watak yang dibawakan oleh Fabian Loo, seorang anggota polis muda yang kelihatan kekok tetapi sangat setia dan mempunyai cita‑cita tinggi dalam kerjayanya.

Melengkapi pasukan ini ialah Aisyah, dilakonkan oleh Alicia Amin, seorang pencuri licik yang pakar dalam memburu artifak bernilai di pasaran gelap. Kemahirannya menjadi kunci penting dalam membongkar misteri yang mengancam dunia manusia. Kekuatan filem ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran barisan pelakon hebat lain seperti Ahirine Ahirudin, Megat Sharizal, Anas Ridzuan dan Amir Nafis, menjadikan keseluruhan penceritaan lebih hidup dan bertenaga.

GALERI

Naskhah berskala besar ini telah direalisasikan menerusi gabungan kuasa produksi gergasi tempatan yang terdiri daripada Act 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw, Katalyst Connections, dan SunStrong Entertainment. Ia turut mendapat sokongan padu daripada FINAS dan Kementerian Komunikasi. Filem MIKAEL: Pemburu Dua Alam bakal menemui peminat-peminat filem melayu tempatan bermula pada 2 April 2026 di pawagam seluruh Malaysia.

Loading...