Ikuti Kami:

Bukan Sekadar Penjenayah Tipikal! Sahronizam Noor Selami Emosi Kompleks Perampas Bas Dalam ‘823 Hostage Crisis’

Bukan Sekadar Penjenayah Tipikal! Sahronizam Noor Selami Emosi Kompleks Perampas Bas Dalam ‘823 Hostage Crisis’

KUALA LUMPUR – Diiinspirasikan dari insiden sebenar rampasan bas pelancong di Manila pada tahun 2010 yang pernah menggemparkan dunia, filem 823 Hostage Crisis kini bersedia untuk menggegarkan pawagam tempatan. Majlis malam gala tayangan perdana filem itu berlansung di TGV Cinemas, Sunway Velocity Kuala Lumpur malam tadi yang turut dihadiri barisan pelakon utama, pengarah serta peminat filem tempatan.

Pada sidang media filem tersebut, tumpuan lensa nyata terarah kepada pelakon berkaliber, Sahronizam Noor. Membawa watak sebagai Paisa iaitu individu yang bertanggungjawab mencetuskan krisis tebusan tersebut, Sahronizam menyifatkan peranan itu sebagai sangat kompleks dan sarat dengan intensiti emosi. Bagi aktor ini, watak Paisa bukanlah sekadar karakter ‘orang jahat’ atau penjenayah biasa yang selalu dipaparkan di layar perak.

Bukan Sekadar Penjenayah Tipikal! Sahronizam Noor Selami Emosi Kompleks Perampas Bas Dalam 823 Hostage Crisis

Sebaliknya, ia adalah manifestasi seorang manusia yang perlahan-lahan hancur akibat tekanan hidup dan desakan yang teramat sangat. Bagi menjiwai watak yang berat ini dengan sempurna, Sahronizam mendedahkan bahawa beliau telah melakukan kajian psikologi yang ekstensif untuk benar-benar memahami motif di sebalik tindakan drastik watak tersebut.

Beliau turut mengakui bahawa cabaran paling besar buat dirinya sepanjang proses penggambaran adalah untuk mengekalkan ketegangan emosi watak berkenaan.

“Bahagian paling sukar adalah mengawal sempadan emosi — tidak terlalu banyak, dan tidak terlalu sikit. Dia memang berbahaya, tetapi dia juga merupakan seorang manusia sebenar,” jelasnya merujuk kepada sisi kemanusiaan watak perampas tersebut.

Filem 823 Hostage Crisis mengisahkan Paisa, seorang bekas anggota polis yang hidupnya terus merudum selepas dia disingkirkan daripada pasukan akibat tuduhan rasuah. Terdesak untuk membersihkan nama dan mendapatkan kembali maruahnya, Paisa nekad mengambil tindakan drastik yang akhirnya mengubah nasib semua yang terlibat.

Dalam situasi tegang yang tidak dijangka, Paisa menawan sebuah bas pelancong, tanpa menyedari bahawa penumpangnya ialah kumpulan pelancong dari Hong Kong. Apa yang pada mulanya hanya cubaan untuk merundingkan kemasukannya semula ke pasukan polis bertukar menjadi krisis tebusan berisiko tinggi. Terperangkap dalam ruang sempit bas, para tebusan dipaksa berdepan ketakutan paling gelap, sementara rahsia demi rahsia terbongkar, hubungan sesama mereka tergugat, dan naluri untuk terus hidup semakin mendesak.

Menerusi naskhah sentuhan Pengarah dan Penerbit Tony Leung ini, Sahronizam berharap agar penonton tidak hanya melihat kepada konflik rampasan berdarah itu semata-mata, tetapi turut merenung dan berfikir tentang isu-isu sosial yang lebih mendalam serta kerumitan sifat manusia di sebaliknya.

Bukan Sekadar Penjenayah Tipikal! Sahronizam Noor Selami Emosi Kompleks Perampas Bas Dalam 823 Hostage Crisis

Filem yang turut dibintangi oleh Tong Bing Yu yang melakonkan watak mangsa terselamat, Yee Xiao Ling, ini bukan sahaja menceritakan semula tragedi tersebut, tetapi turut menyelami perjalanan emosi mangsa yang terselamat.

Antara pelakon utama lain yang turut membintangi karya ini termasuklah Teoh Yeow Dong, Fish Liew, Luvin Ho, Jovi Heng, Crystal Chow, Yuan Teng dan Joey Daud. Masing-masing membawa dimensi emosi dan intensiti drama yang mendalam.

GALERI

Menambah tarikan kepada filem ini ialah kemunculan khas beberapa nama besar seperti Mimi Kung, Helena Law, Don Li, Terence Lam, Amy Tam, Peter Pang dan Henick Chou yang menjadikan naskhah ini semakin dinantikan peminat filem serantau.

Diedarkan oleh Mega Films Distribution, 823 Hostage Crisis bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 2 April 2026, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik hebat yang menggabungkan kedalaman emosi dengan mesej sosial yang cukup relevan.

Foto: Are-Mint

Loading...