Ikuti Kami:

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

SERDANG – Pencinta muzik dan budaya custom bakal menyaksikan sejarah tercipta apabila festival Art of Speed 2026 (AOS 2026) kembali menyengat menerusi edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos 2026 ini. Bertempat di lokasi ikonik Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), kemuncak acara semestinya terarah kepada kepulangan SoundCircus Festival yang dirindui selepas dua tahun menyepi.

Selari dengan liputan meluas mengenai pengembangan mega festival ini yang bakal menampilkan susun atur enam pentas di kawasan seluas 4 ekar, pengumuman barisan artisnya membuktikan skala gah tersebut. Festival ini berjaya menghimpunkan ikon-ikon legenda Nusantara di bawah satu payung persembahan berskala raksasa.

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

Sorotan paling mencuri tumpuan tahun ini pastinya terarah kepada konsep persembahan ‘TAKHTA RATU NUSANTARA’. Segmen epik ini bakal menyaksikan gabungan kuasa besar dua negara di atas satu pentas, di mana legenda rock Malaysia, Ella, akan bergabung tenaga bersama kumpulan popular Indonesia, Cokelat.

Bagi memuaskan dahaga peminat rock sejati, pentas SoundCircus turut menjanjikan persembahan khas yang dinamakan ‘LEGENDS X RENEGADES’. Konsep ini menonjolkan pertembungan dua genre dan generasi berbeza apabila kumpulan muzik Jemson berkolaborasi bersama legenda rock tanah air, Def Gab C.

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

Selain elemen rock yang menjadi tunjang utama, pihak penganjur turut memperkayakan festival tahun ini dengan pelbagai konsep persembahan yang lebih segar dan luar biasa, khusus untuk edisi 2026. Setiap segmen dirangka bagi memberikan pengalaman muzik yang pelbagai, sekaligus meraikan kepelbagaian budaya dan generasi peminat.

Salah satu tarikan unik ialah konsep “POWER POP YEAH YEAH”, yang buat pertama kalinya menyatukan pasangan dua generasi—bapa dan anak—di atas pentas yang sama. Kolaborasi antara Adnan Othman dan kugiran Couple ini bukan sahaja simbolik, malah membawa warna muzik yang melangkaui zaman.

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

AOS 2026 serta Festival SoundCircus kali ini turut mengangkat budaya tradisional tempatan melalui slot “DIKIR KUSTOM”. Dalam segmen ini, penyampai radio Issey bersama The Clique akan mempersembahkan dikir barat yang diberikan sentuhan baharu agar serasi dengan tema custom culture, menjadikannya gabungan tradisi dan modenisasi yang cukup menarik.

Tidak ketinggalan, kumpulan indie terkenal Masdo yang kembali ke pentas SoundCircus selepas tujuh tahun. Mereka berjanji untuk tampil dengan persembahan yang lebih garang dan berbeza daripada kebiasaan, menandakan kemunculan semula yang pastinya dinanti-nantikan oleh para peminat.

Gegaran Legenda Nusantara! Ella, Cokelat & Def Gab C Bakal Gegar Pentas AOS 2026

Menurut Pengarah AOSM, Asep Ahmad Iskandar, acara pada tahun ini telah berjaya mengumpulkan lebih 50 pemuzik dan artis yang diterbangkan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, serta Jepun. Beliau menyifatkan penganjuran berskala antarabangsa ini sebagai satu tanda aras evolusi besar yang memberi impak positif kepada industri kreatif dan pelancongan negara.

Peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini boleh mendapatkan tiket kemasukan AOS 2026 pada harga RM35.00. Tiket bagi menyaksikan SoundCircus pula dijual bermula pada harga RM89.00 untuk kategori General Admission, dan boleh dibeli menerusi pautan portal rasmi https://biz.bboevents.com/event/#/aosscf26.

Loading...