Ikuti Kami:

ND Entertainment Ambil Alih Penganjuran, Konsert ‘For You Nourul’ Ditunda Ke 30 Mei 2026

ND Entertainment Ambil Alih Penganjuran, Konsert ‘For You Nourul’ Ditunda Ke 30 Mei 2026

KUALA LUMPUR – Demi menjanjikan sebuah persembahan berskala besar yang lebih mantap dan memuaskan, konsert solo yang paling dinantikan, For You Nourul, kini secara rasminya telah dijadualkan semula ke 30 Mei 2026.

Lebih menarik, penganjuran konsert ini kini digerakkan sepenuhnya di bawah kelolaan ND Entertainment. Langkah strategik ini diambil bagi memastikan kualiti produksi berada di tahap maksimum, sementelah ini merupakan konsert sulung Nourul Depp sepanjang lebih tiga dekad beliau menabur bakti dalam industri muzik tanah air.

ND Entertainment Ambil Alih Penganjuran, Konsert For You Nourul Ditunda Ke 30 Mei 2026

 

Menurut pihak penganjur dan Nourul sendiri, keputusan penganjakan tarikh dari 17 April kepada 30 Mei 2026 ini bukanlah satu berita sedih, sebaliknya ia dibuat atas faktor keprihatinan. Penjadualan semula ini mengambil kira sambutan dua perayaan besar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha yang bakal menjelang tiba.

Malah, langkah ini juga disifatkan sangat tepat bagi memberi nafas kepada para peminat untuk menyusun semula bajet kewangan mereka selepas sakan berbelanja pada musim perayaan nanti!

Bagi penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Kerana Terluka ini, konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan biasa, tetapi ia adalah manifestasi ‘kelahiran semula’ dirinya.

“Konsert ini akan menjadi satu ‘preview’ kepada fasa baru dalam perjalanan saya. Ia adalah permulaan kepada satu bab baru dengan mindset, tenaga, dan visi yang berbeza,” kongsi Nourul penuh teruja.

Menariknya, Nourul mendedahkan bahawa para peminat tegarnya telah menanti detik keemasan ini selama hampir 15 tahun, semenjak beliau mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak seni demi memberi fokus kepada keluarga dan membina empayar perniagaan.

Bagi memastikan malam bersejarah itu berjalan dengan sempurna, ND Entertainment turut membawa masuk komposer berkaliber, Eddie Slam, selaku Pengarah Muzik. Gandingan hebat ini sudah pasti menjanjikan sebuah pengalaman audio visual yang tidak akan dilupakan oleh para penonton di Zepp Kuala Lumpur kelak.

ND Entertainment Ambil Alih Penganjuran, Konsert For You Nourul Ditunda Ke 30 Mei 2026

Buat peminat yang sudah tidak sabar untuk mengimbau nostalgia dan merasai sendiri tenaga baharu Nourul, tiket-tiket masih boleh didapati menerusi laman web rasmi ticket2u.com.my.

Tiket ditawarkan pada harga bermula RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) sehinggalah ke RM6,000 (VIP Box).

Jadi, jangan sampai Keliru apatah lagi Terluka kalau terlepas peluang ini! Catat dalam kalendar anda, For You Nourul sedia memukau pada 30 Mei 2026, jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Loading...