Siapa Gerangan Liu? M. Nasir Mulakan Pencarian Srikandi bagi Teater Muzikal ‘Mansur & Liu’
- oleh Editor MYBUZZ
- 14 May 2026 4:17 pm
KUALA LUMPUR – Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, kini dalam misi penting untuk mencari seorang pemeran wanita bagi menggalas watak ‘Liu’ dalam nementasan teater muzikal sulung terbitan beliau bersama isteri, Datin Marlia Musa, yang berjudul Mansur & Liu.
Projek ini menandakan kali pertama pasangan seni ini ‘bersanding’ sebagai penerbit untuk sebuah naskah teater muzikal. Datin Marlia Musa menyatakan bahawa pementasan ini merupakan impian mereka untuk melihat bakat-bakat baharu menzahirkan watak yang selama ini hanya berada dalam bayangan mereka ke alam nyata.
Bagi calon yang ingin mencuba nasib, watak Liu digambarkan sebagai seorang wanita yang memiliki ciri-ciri khusus seperti berikut mempunyai gerak tari yang gemalai, memiliki kebijaksanaan dalam berbicara, mempunyai kualiti suara yang lunak dan gemersik.
Sesi ujibakat bertajuk “M. Nasir Mencari Liu” akan diadakan pada 15 Mei 2026 (Ujibakat Terbuka),masa bermula jam 3.00 petang di Club Chinois, Aras LG, Hotel JW Marriott Kuala Lumpur, Jalan Bukit Bintang. Calon yang terpilih akan dipanggil ke fasa seterusnya pada 16 Mei 2026.
Individu yang berbakat dan merasakan diri mereka memenuhi kriteria “Liu impian M. Nasir” dijemput hadir untuk meraikan sesi terbuka ini. Calon yang berminat dikehendaki mengisi borang ujibakat terlebih dahulu melalui pautan rasmi di sini.
“Liu, menjelmalah. M. Nasir mencarimu. Bak dedaun masa mencari hati emasnya,” merupakan seruan puitis yang ditinggalkan buat srikandi yang bakal menghidupkan karya ini nanti.
