Nasyid Friday: Kebangkitan Dakwah Moden Melalui Seni Hiburan Alternatif
- oleh Editor MYBUZZ
- 14 May 2026 3:41 pm
KUALA LUMPUR – Sebuah gelombang baharu dalam industri muzik tanah air bakal tercipta menerusi pelancaran projek muzik Nasyid Friday, sebuah inisiatif dakwah moden yang diterajui oleh pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan.
Projek ini menyasarkan untuk menghidupkan semula seni nasyid sebagai medium yang mendekatkan masyarakat, khususnya anak muda, kepada pencipta menerusi kualiti produksi yang setara dengan hiburan arus perdana.
Projek berskala besar ini dijadualkan bermula pada setiap hari Jumaat bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027. Menurut Adnin, yang juga bertindak sebagai Pengarah dan Penerbit, pemilihan hari Jumaat adalah sebagai mengambil keberkatan ‘penghulu segala hari’ untuk menyebarkan nilai positif dan ketenangan melalui seni.
Sepanjang tempoh tersebut, peminat bakal disajikan dengan lapan (8) buah album nasyid yang mengandungi enam lagu bagi setiap album, karya kerohanian yang disertakan dengan video muzik berkualiti tinggi, 200 video dan konten dakwah setiap bulan di platform media sosial dan juga lapan (8) sketsa dakwah bulanan yang kreatif dan santai.
Nasyid Friday menampilkan lapan tunggak utama yang terdiri daripada penyanyi dan kumpulan nasyid berpengaruh masa kini iaitu Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, Kumpulan One Path, Kumpulan Rabithah, Kumpulan Fetya, Kumpulan The Truth dan Kumpulan Autotune Band.
Selain itu, projek ini turut menarik minat selebriti tempatan sebagai artis jemputan dalam tiga daripada lapan album tersebut, antaranya ialah pelawak legenda Saiful Apek, bersama Anas Tahir dan Alif Azhari.
Bagi kumpulan Fetya, penglibatan mereka dalam Nasyid Friday akan memberikan tumpuan khusus kepada perjuangan Palestin. Wakil kumpulan tersebut, Bilal, menyifatkan Palestin sebagai simbol kekuatan iman dan kebebasan yang perlu disedari oleh masyarakat melalui karya seni.
Sementara itu, Ridwan daripada kumpulan Rabithah berharap agar karya yang dihasilkan tidak dilihat sebagai hiburan semata-mata, sebaliknya sebagai satu alternatif yang mendidik jiwa di tengah kehausan masyarakat terhadap hiburan bermakna.
Tarbiah Sentap memasang impian besar untuk menjadi saluran dakwah dan hiburan Islami pilihan nombor satu anak muda. Selain muzik, perancangan masa depan turut merangkumi penerbitan buku-buku dakwah serta siri jelajah di seluruh Malaysia bagi memperkukuh ekosistem kandungan yang memberi kesan kepada pemikiran dan kehidupan masyarakat.
“Seni bukan sesuatu yang asing dalam dakwah, tetapi ia adalah medium yang sangat kuat untuk menyampaikan mesej kebaikan dengan cara yang lembut dan menyentuh hati,” ujar Adnin Roslan menutup bicara mengenai projek kebangkitan seni dakwah moden ini.
