RM5 Bilion Pembiayaan Mikro 2026: 400,000 Usahawan Kecil Bakal Nikmati Manfaat – Kerajaan MADANI
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 May 2026 9:17 am
“Mesti sampai kepada rakyat” – PM mahu pembiayaan mikro lebih cepat, adil dan tidak membebankan rakyat.
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI telah mengumumkan penyediaan kemudahan pembiayaan mikro dengan jumlah peruntukan melebihi RM5 bilion bagi tahun 2026 dalam usaha merancakkan kembali ekonomi rakyat dan meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar.
Dana pembiayaan mikro ini dijangka memberi sinar baharu dengan memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro di seluruh negara. Melalui inisiatif ini, usahawan berpeluang memohon pembiayaan bernilai sehingga RM100,000. Lebih istimewa, kadar pembiayaan yang ditawarkan bagi skim tertentu adalah sangat kompetitif iaitu serendah tiga peratus setahun.
Bagi memastikan kelancaran penyaluran dana, pelbagai skim akan digerakkan menerusi beberapa agensi dan institusi kewangan pembangunan utama, termasuklah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank, SME Bank, dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang potfolio Menteri Kewangan menzahirkan kebimbangan sekiranya inisiatif murni ini gagal mencapai matlamat utamanya jika penjaja dan peniaga kecil, terutamanya di pasar malam dan kawasan tumpuan orang ramai, tidak merasai manfaat tersebut.
Beliau mendedahkan bahawa ketika sesi lawatannya ke pelbagai negeri, beliau kerap menerima keluhan secara terus daripada peniaga kecil yang tidak tahu mengenai wujudnya bantuan atau pembiayaan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Keadaan itu menyebabkan sebilangan besar daripada mereka terpaksa bergelut keseorangan untuk terus bertahan berikutan ketiadaan saluran maklumat yang betul bagi mendapatkan bantuan modal.
“Justeru saya mengarahkan semua agensi dan institusi pembiayaan mikro untuk memperhebat gerak kerja turun padang dan mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro serta golongan yang terhimpit akibat kekangan modal,” tegas beliau.

Kerajaan MADANI sedia pembiayaan RM5 bilion Untuk 400,000 usahawan. PM arah permudah pembiayaan mikro, fokus bantu peniaga kecil dan golongan terhimpit
Dalam perjumpaan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif agensi yang terlibat pada 14 Mei, beliau turut mengarahkan agar kempen hebahan dilaksanakan secara komprehensif dan agresif supaya tiada golongan yang tercicir. Pada masa yang sama, proses permohonan pinjaman diwajibkan supaya lebih mudah, adil, dan munasabah, tanpa membebankan peminjam dengan syarat yang terlalu ketat.
“Ekonomi MADANI berpijak pada nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan. Kemudahan pembiayaan mikro ini mesti sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah,” jelas beliau.
Dana ini secara khususnya menyasarkan pelbagai golongan lapisan masyarakat, yang merangkumi para peniaga kecil, penjaja pasar malam, kontraktor kecil, pesawah padi, pekerja ekonomi gig, belia, usahawan wanita, lepasan graduan TVET, sehinggalah kepada golongan asnaf.
Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa dana pembiayaan mikro RM5 bilion ini adalah satu peruntukan khusus yang berasingan daripada kemudahan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang sedia ada.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan dana sokongan untuk PMKS pada tahun ini melebihi RM15 bilion. Secara spesifiknya, sokongan kewangan ini turut merangkumi RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan satu lagi dana bernilai RM5 bilion bagi skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
Gambar: FB/Pejabat Perdana Menteri
