KPKT Saran PBT Kurangkan Sewaan Premis Hingga 2026 Bantu Peniaga Kecil
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 May 2026 12:56 pm
Langkah strategik KPKT membantu meringankan kos operasi penjaja dan peniaga kecil sekaligus mengukuhkan ekosistem ekonomi tempatan
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mempertimbangkan inisiatif pengurangan kadar sewaan premis perniagaan bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil sehingga penghujung tahun 2026.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, saranan itu yang melibatkan premis perniagaan, gerai, serta medan selera di bawah seliaan PBT, merupakan satu usaha proaktif Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan golongan berkenaan yang kini terkesan dengan peningkatan kos operasi.
Menurut beliau, langkah tersebut turut menterjemahkan sokongan kementerian terhadap cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) agar PBT segera tampil membantu peniaga menerusi pemberian insentif sewaan yang wajar.
“Langkah strategik ini bertujuan untuk meringankan beban kos operasi yang ditanggung oleh penjaja dan peniaga kecil tempatan, sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi,” jelas beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan dilihat sebagai serampang dua mata kerana ia bukan sekadar menjamin kelangsungan perniagaan dan mengekalkan peluang pekerjaan masyarakat setempat, malah dijangka turut membantu menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan di pasaran pengguna.

Diskaun sewa premis dapat membantu menstabilkan harga dan melindungi pekerjaan
Dalam perkembangan sama, KPKT turut memuji tindakan pantas beberapa PBT, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah pun mengumumkan pemberian diskaun sewa sehingga 50 peratus melibatkan beberapa gerai dan premis kendaliannya.
Inisiatif pengurangan sewa ini melengkapkan jaringan bantuan menyeluruh Kerajaan MADANI buat peniaga kecil seperti program MyKiosk, selain strategi menangani kos sara hidup bersasar yang sedang berjalan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan BUDI MADANI.
“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI. Kita mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara serta terus menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” tegasnya.
Susulan saranan ini, KPKT akan terus menjalin kerjasama erat dengan seluruh PBT bagi menilai kaedah pelaksanaan terbaik berasaskan kemampuan kewangan PBT serta bersesuaian dengan keperluan setempat masyarakat bandar.
