Ikuti Kami:

18 Institusi Kewangan Sertai SME SRF, Percepat Akses Dana Untuk PMKS

18 Institusi Kewangan Sertai SME SRF, Percepat Akses Dana Untuk PMKS

PMKS diseru rebut dana RM5 bilion, proses dipercepat & lebih fleksibel – Gambar hiasan

 

PUTRAJAYA: Bermula 15 Mei, syarika 2026, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara kini mempunyai akses kepada talian hayat kewangan baharu menerusi Kemudahan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) bernilai RM5 bilion yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagi memastikan inisiatif ini mencapai sasaran, sebanyak 18 institusi kewangan telah dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan dana berkenaan. Antara bank yang terlibat termasuklah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan SME Bank yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), selain bank-bank komersial utama seperti Maybank, CIMB, Bank Islam, dan BSN.

Menerusi program ini, PMKS yang layak berpeluang untuk memohon suntikan modal sehingga RM750,000. Lebih menarik, kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan adalah sangat rendah, iaitu pada kadar maksimum 3.75 peratus setahun.

18 Institusi Kewangan Sertai SME SRF, Percepat Akses Dana Untuk PMKS

Peruntukan PMKS cecah RM60 Bilion, bukti komitmen Kerajaan MADANI. – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong

 

Menyedari cabaran mendesak yang dihadapi oleh komuniti perniagaan ketika ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, tampil menggesa kesemua 18 institusi kewangan yang terlibat agar segera memudah cara proses permohonan.

Beliau mahu pihak bank membuang birokrasi yang merumitkan dengan mempercepat proses kelulusan serta penyaluran pembiayaan supaya bantuan dapat dinikmati oleh perusahaan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.

“KUSKOP berharap institusi kewangan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada PMKS dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan praktikal dalam menilai permohonan pembiayaan, khususnya yang melibatkan perusahaan mikro dan perniagaan kecil,” tegasnya menerusi satu kenyataan media.

Suntikan dana baharu RM5 bilion oleh BNM ini, ditambah pula dengan jaminan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), telah melonjakkan keseluruhan peruntukan bagi sektor PMKS tahun ini kepada RM60 bilion berbanding RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 sebelum ini.

KUSKOP menyifatkan peningkatan dana ini sebagai cerminan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menyokong daya saing sektor PMKS tempatan, waima ketika dunia sedang bergelut dengan krisis bekalan tenaga.

Para pengusaha PMKS dialu-alukan untuk mengemukakan permohonan pembiayaan ini sebelum tarikh tutup pada 31 Disember 2026, atau tertakluk kepada ketersediaan keseluruhan peruntukan dana berjumlah RM5 bilion tersebut.

Loading...