Seminyak Indonesian Soulfood Kukuhkan Jenama, Buka Cawangan Kedua di KLGCC Mall
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Apr 2026 7:44 am
KUALA LUMPUR – Jenama makanan Indonesia, Seminyak Indonesian Soulfood terus mengorak langkah dalam industri makanan dan minuman tempatan apabila merasmikan pembukaan cawangan keduanya di KLGCC Mall hari ini.
Pembukaan ini menandakan satu lagi pencapaian penting buat jenama tersebut selepas kejayaan cawangan pertama di Sunway Pyramid pada Jun tahun lalu. Lokasi baharu di KLGCC Mall dipilih secara strategik bagi memenuhi permintaan pelanggan berprofil pertengahan hingga premium yang mengutamakan pengalaman menjamu selera yang selesa dan berkualiti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia H.E. Raden Dato’ Mohammad Iman Hascarya Kusumo.
Cawangan baharu ini diterajui oleh barisan usahawan terdiri daripada Lina Rahim, Leta Juangku, Tania Arlene dan Datin Nelydia, yang berkongsi visi untuk memperkenalkan hidangan “Indonesian soulfood” dalam konsep lebih moden, segar dan mudah didekati.

Perjalanan mereka dalam industri F&B bermula dengan pelancaran Warung Eropa TRX pada 2023, sebelum berkembang kepada Warung Jakarta pada 2024 dan seterusnya memperkenalkan jenama Seminyak pada 2025.
Mengambil inspirasi daripada suasana ikonik Seminyak di Bali, restoran ini menampilkan gabungan rasa tradisional Indonesia dengan sentuhan kontemporari. Reka bentuk dalaman pula mengetengahkan elemen tropika dengan tona hangat dan penggunaan bahan semula jadi, sekali gus mewujudkan suasana santai dan selesa.

Keunikan Seminyak terletak pada penggunaan resipi autentik dari pelbagai wilayah di Indonesia serta penyediaan mi buatan tangan yang dihasilkan segar setiap hari. Antara tarikan utama ialah konsep Indonesian Rice Bowl Nasi Jinggo yang disajikan bersama nasi kukus dan lauk berempah yang kaya aroma.
Menu signatur termasuk Nasi Jinggo Ayam Bakar, Empal Beef Seminyak, Ayam Betutu dan Bebek Kremes, yang menjadi pilihan ramai pelanggan. Harga hidangan pula ditawarkan pada kadar berpatutan antara RM16 hingga RM70, menjadikannya sesuai untuk pelbagai golongan.
Menurut pihak pengurusan, setiap hidangan disediakan menggunakan bahan segar daripada pembekal yang disahkan halal, mencerminkan komitmen jenama terhadap kualiti dan keyakinan pelanggan.
Majlis pembukaan rasmi yang berlangsung pada pagi tadi diserikan dengan pelbagai acara termasuk ucapan alu-aluan, bacaan doa serta upacara potong tumpeng sebagai simbolik tradisi Indonesia.
“Matlamat kami bukan sekadar memperkenalkan makanan Indonesia, tetapi mencipta pengalaman menjamu selera yang menyentuh jiwa dan sesuai dinikmati bersama keluarga, rakan mahupun rakan perniagaan,” ujar wakil Seminyak.
Dengan pembukaan cawangan kedua ini, Seminyak kini berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang sebagai jenama makanan Indonesia yang relevan dan berdaya saing di Malaysia. Malah, mereka turut merancang untuk memperluaskan operasi ke luar Kuala Lumpur serta meneroka pasaran ASEAN melalui kerjasama strategik pada masa hadapan.






