Ikuti Kami:

Mega Raya ANSARA 2026 Perkukuh Jaringan Nasional & Pemangkin Pembangunan Negara

Mega Raya ANSARA 2026 Perkukuh Jaringan Nasional & Pemangkin Pembangunan Negara

1,500 tetamu hadir ke Mega Raya ANSARA 2026, yang berlansung di Dewan Perdana, Keramat Mall semalam, berjaya memperkukuh silaturahim dan kolaborasi strategik alumni MRSM

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) telah menganjurkan majlis Mega Raya ANSARA 2026 (MR2026), sebuah acara perdana tahunan yang menghimpunkan ribuan alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dari pelbagai generasi di seluruh pelosok negara.

Berkonsepkan tema ‘Busana Klasik Melayu’, acara berprestij ini bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan sambutan Aidilfitri, malah ia diangkat sebagai sebuah platform strategik bagi memperkukuhkan ekosistem alumni. Inisiatif ini disokong oleh empat tonggak utama, iaitu Silaturahim, Penghargaan, Jaringan Strategik, dan Inovasi.

Kemuncak penganjuran majlis ini turut diserikan dengan pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANSARA Malaysia bersama pelbagai entiti korporat dan akademik terkemuka. Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Islamic Relief Malaysia, Premier Integrated Labs, Sunway Medical Centre, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd serta Authenteqa Sdn Bhd, sekali gus mencerminkan sokongan kukuh pelbagai sektor terhadap agenda pembangunan alumni MRSM.

Kerjasama bersepadu ini dirangka dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama. Dari sudut pembangunan kerjaya, ia merangkumi pelaksanaan program latihan industri dan pendedahan profesional bagi graduan muda MRSM bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.

Mega Raya ANSARA 2026 Perkukuh Jaringan Nasional & Pemangkin Pembangunan Negara

Selain itu, aspek pembangunan sosioekonomi turut menjadi keutamaan melalui pengenalan inisiatif pembiayaan perniagaan khas yang bertujuan menyokong golongan usahawan dalam kalangan ahli ANSARA. Dalam sektor pendidikan pula, kerjasama ini meliputi sokongan terhadap penyelidikan serta penawaran biasiswa bagi anak-anak ahli ANSARA, sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan.

Penganjuran berskala besar ini turut mendapat sokongan padu daripada ANSARA Business Community bersama rakan-rakan penaja dari pelbagai sektor korporat seperti perbankan, telekomunikasi, makanan dan minuman (F&B), dan automotif. Majlis ini diserikan dengan kehadiran sekitar 1,000 hingga 1,500 orang tetamu.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) selaku Tetamu Kehormat, Ketua Pengarah MARA, barisan pengurusan tertinggi MARA, serta tokoh-tokoh alumni ikonik yang memegang portfolio utama dalam kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor korporat. Sebagai tanda penghargaan, bekas guru serta pesara MRSM turut diraikan secara istimewa dalam majlis tersebut.

Selain menjadi medan memperluas jaringan profesional, majlis ini turut menyaksikan pembentangan hala tuju organisasi menerusi Takwim ANSARA 26/27 oleh Presiden ANSARA Malaysia. Suasana nostalgia Aidilfitri turut disemarakkan lagi dengan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Imran Ajmain.

Presiden ANSARA Malaysia dalam kenyataannya menegaskan bahawa penganjuran majlis ini memainkan peranan penting dalam konteks pembangunan komuniti.

“Mega Raya ANSARA 2026 bukan sekadar jamuan makan, ia adalah manifestasi kekuatan jaringan alumni MRSM dalam menyumbang kembali kepada pembangunan negara dan kelestarian institusi MARA,” jelas beliau.

Sehingga kini, ANSARA terus unggul sebagai sebuah organisasi alumni yang dinamik dengan jumlah keahlian yang mencecah puluhan ribu individu. Persatuan ini kekal komited untuk bertindak sebagai jambatan penghubung antara alumni dan pihak MARA, penggerak modal insan, di samping menjadi peneraju utama dalam lapangan kesukarelawanan serta pembangunan ekonomi Bumiputera.

Loading...