Ikuti Kami:

Semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, ASWARA Bawa Teater Kontemporari Nusantara ke Ibu Kota

Semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, ASWARA Bawa Teater Kontemporari Nusantara ke Ibu Kota

KUALA LUMPUR – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) sebagai usaha berterusan memperkasakan industri seni persembahan serantau. Festival berprestij anjuran Fakulti Teater ASWARA ini dijadualkan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 16 hingga 19 Julai 2026 di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur

Bertemakan “Tanda. Temu. Tamu”, FTA 2026 diangkat sebagai platform dinamik yang menawarkan interaksi budaya secara holistik serta wadah apresiasi terhadap Seni Teater Kontemporari. Majlis perasmian gilang-gemilang festival ini dijadualkan berlangsung di Dewan Orkestra ASWARA dan akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sepanjang festival berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam, pelbagai pengisian program menarik telah disusun untuk pengunjung. Antaranya termasuklah Bengkel Teater yang dikendalikan oleh seniman serantau, sesi Work in Progress yang mendedahkan proses kreatif di sebalik tabir, serta persembahan unik Kedai Cerita Runcit yang membawakan konsep monodrama site-specific dalam suasana santai. Selain itu, kemuncak festival akan dimeriahkan dengan Showcase teater kontemporari berskala tinggi oleh kumpulan teater jemputan dari dalam dan luar negara.

Penganjuran FTA 2026 bukan sahaja memperkasakan pendidikan seni di peringkat akademik, malah menjadi penggerak kepada transformasi industri kreatif yang lebih progresif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Malah, festival ini amat signifikan dalam menyokong agenda nasional kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui segmen pelancongan budaya (cultural tourism) bagi memartabatkan identiti seni serantau ke peringkat antarabangsa.

Bagi memastikan seni dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, ASWARA mengumumkan bahawa hampir semua aktiviti di FTA 2026 adalah PERCUMA, kecuali bagi program showcase yang hanya mengenakan tiket bernilai RM 10.00. Memandangkan kapasiti ruang adalah terhad, para pencinta seni dinasihatkan untuk segera membuat tempahan slot secara dalam talian menerusi platform Cloudjoi.com.

Loading...