Kisah Agung! Teater Muzikal ‘Qais & Laila’ Bakal Gegar Panggung Bangsawan Melaka 25 Julai Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 Jul 2026 9:54 am
MELAKA – Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) tampil melakar lembaran baharu dalam industri seni persembahan tempatan apabila bakal mengangkat kisah cinta agung yang penuh nostalgia ke pentas teater muzikal menerusi naskhah “Qais & Laila”.
Pementasan berskala besar ini bukan sekadar sebuah kisah percintaan biasa, malah ia digarap segar dengan menggabungkan elemen drama, muzik, puisi, komedi, serta nilai kemanusiaan dan spiritual yang mendalam. Olahan kontemporari ini dirangka khusus untuk menyentuh emosi penonton sekaligus memberikan impak pengajaran yang bermakna.
Teater muzikal ini mendapat sokongan padu daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Langkah ini juga diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Tourism Melaka, MCorp Corporate Services Sdn. Bhd. (MCS), Boolan Trending, Panggung Bangsawan Melaka, dan World Youth Foundation.

Foto Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya merangkap ADUN Telok Mas, YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai “Tok Ajak” merasmikan pementasan pentas teater muzikal “Qais & Laila di Melaka Isnin lalu.
Selain menjadi pengisian seni yang berkualiti, pementasan “Qais & Laila” diyakini mampu memperkasakan ekosistem teater tempatan, mempromosikan pelancongan budaya di Melaka, serta merancakkan lagi sektor ekonomi kreatif negara.
Lebih menarik, pementasan eksklusif ini dijadualkan berlangsung selama satu malam sahaja iaitu pada 25 Julai 2026 (Sabtu) bertempat di Panggung Bangsawan Melaka. Konsep satu malam ini dipilih sengaja bagi memberikan nilai eksklusif dan menjadikan pengalaman menonton lebih istimewa serta dinanti-nantikan oleh para peminat teater.




“Qais & Laila” bakal menampilkan barisan pelakon hebat dan berpengalaman, diterajui oleh Syahir Shafien dan Isyariana sebagai watak utama. Pementasan ini turut diserikan dengan kemunculan pelakon veteran tanah air Datuk Jalaludin Hassan, Raja Ema, Ashraf Muslim, serta pelakon berbakat dari Singapura, Rashid Din.
Bagi orang ramai dan pencinta seni yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket persembahan sudah boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2U.
