Ikuti Kami:

Dari Siti Nurhaliza Hingga Aubrey Suwito, AJL40 Himpunkan Ikon Muzik Gergasi Atas Satu Pentas Berskala Mega!

Dari Siti Nurhaliza Hingga Aubrey Suwito, AJL40 Himpunkan Ikon Muzik Gergasi Atas Satu Pentas Berskala Mega!

KUALA LUMPUR: Pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) bersedia melakar sejarah baharu apabila menghimpunkan deretan ikon muzik gergasi tanah air, bermula daripada Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza sehinggalah kepada komposer tersohor Aubrey Suwito, dalam satu platform yang sama.

Melalui majlis AJL40: Pandangan Pertama (The First Look) yang berlangsung hari ini, pengisian edisi ulang tahun ke-40 ini tampil lebih gah dengan tema “Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” serta mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future”.

Antara pengisian utama yang mencuri perhatian adalah pelantikan komposer dan penerbit terkenal, Aubrey Suwito, selaku Pengarah Muzik AJL40. Sentuhan magis beliau diberi tanggungjawab besar untuk menghubungkan legasi kegemilangan AJL terdahulu dengan aspirasi masa depan industri menerusi susunan muzik yang lebih segar, kontemporari, dan bertaraf dunia.

Lebih istimewa, majlis pelancaran berkenaan turut diserikan dengan tayangan tiga video khas memaparkan perkongsian eksklusif daripada penggiat seni berwibawa iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Datuk Acis, dan Aubrey Suwito sendiri. Klip khas tersebut memperincikan peranan signifikan AJL dalam memartabatkan karya tempatan, membentuk landskap seni negara, serta melahirkan generasi baharu pengkarya.

Selain penghimpunan tokoh-tokoh berkenaan, AJL40 turut mengumumkan pengiktirafan Anugerah Ikon AJL40 yang diberikan kepada dua figura moden yang tidak asing lagi, iaitu Faizal Tahir dan Hael Husaini. Penghargaan khas ini diberikan atas sumbangan, impak, serta konsistensi mereka dalam memacu ekosistem dan pembangunan bakat industri muzik tanah air.

Majlis pelancaran The First Look turut disemarakkan dengan persembahan bertenaga daripada Mariam OIAM bersama Rio Jazz Band yang mendendangkan medley 10 lagu finalis AJL40. Suasana kemudian bertukar hangat dengan persembahan Hafiz Suip yang membawakan medley lima lagu kemenangan Vokal Terbaik miliknya, sebelum tirai majlis ditutup indah oleh Ning Baizura menerusi lagu Curiga dan Awan Yang Terpilu.

Bagi memeriahkan lagi demam AJL40, peminat boleh menyertai program Muzik Lab yang bakal diadakan pada Sabtu ini, 11 Julai 2026 di McDonald’s Pantai Sentral Park. Siri jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 bersama barisan finalis juga akan digerakkan bermula di Ipoh (12 Julai), Kuantan (18 Julai), Johor Bahru (25 Julai), dan berakhir di Kuala Lumpur (1 Ogos).

Malam kemuncak AJL40 yang dikendalikan oleh hos utama Naz Rahman dan Sissy Imann ini bakal dipancarkan secara langsung dari Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026 (Sabtu), jam 9.00 malam menerusi TV3 dan aplikasi Tonton. Tiket bagi menyaksikan acara gilang-gemilang ini sudah mula dijual sejak 26 Jun lalu melalui laman web www.wowtix.com.my.

Loading...