Selepas Sukses Dengan ‘Cinta Sesungguhnya’, Sabhi Sadhi Kembali Menyengat Dengan “ROMANSA”
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Jun 2026 6:09 pm
KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama mencetak impak besar dalam hati peminat menerusi corak lagu romantis, penyanyi vokal mantap kelahiran Sandakan, Sabah, Sabhi Sadhi, kembali menggegarkan industri hiburan tanah air dengan buah tangan terbaharu berjudul “ROMANSA”.
Menariknya, naskhah terbitan AJ Productions ini bukan sekadar sebuah peluncuran lagu biasa, sebaliknya ia sedia dicanang sebagai bakal lagu runut perkahwinan (wedding song) pilihan utama ramai tidak lama lagi.
Membawa aura yang hampir sama dengan mega hit terdahulunya, Cinta Sesungguhnya, Sabhi, 42, mengakui langsung tidak berkecil hati mahupun kisah sekiranya peminat atau netizen melabelkan dirinya sebagai ‘wedding singer’ selepas ini.

Bagi bapa kepada lima cahaya mata ini, gelaran tersebut merupakan satu pengiktirafan dan rezeki yang tidak patut ditolak.
“Tidak kisah orang nak kata apa. Yang penting, saya banyak dapat tawaran untuk menyanyi di majlis-majlis perkahwinan.
“Kalau ada pasangan yang memilih lagu saya untuk mengiringi hari istimewa mereka, saya anggap itu sebagai satu rezeki dan tanda bahawa karya tersebut dekat dengan hati pendengar. Saya tidak melihat label itu sebagai sesuatu yang negatif kerana setiap artis pasti mahu menghasilkan lagu yang mampu bertahan lama,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Bukan itu sahaja, ‘scoop’ paling mencuri tumpuan dalam pembikinan ROMANSA adalah penglibatan beralih paksi Sabhi yang bertindak sebagai pengarah muzik video (MV) bagi lagu berkenaan.

Pengalaman tersebut ternyata menguji kredibiliti seninya apabila beliau memilih untuk mempertaruhkan bakat-bakat baharu yang langsung tidak mempunyai pengalaman beraksi di hadapan kamera.
“Saya memilih talent yang tidak mempunyai pengalaman depan kamera, jadi saya perlu membimbing mereka dari segi lakonan dan emosi—daripada fasa gembira, sedih sehinggalah ke babak bahagia,” dedah Sabhi mengenai cabaran di sebalik tabir.
ROMANSA memaparkan kekuatan jalan cerita visual yang dramatik, menceritakan fasa turun naik sepasang kekasih yang terpaksa mengharungi badai perpisahan dan ujian hidup sebelum akhirnya kembali disatukan dalam ikatan perkahwinan yang suci.
Artis R&B berbakat yang memulakan langkah awal bersama kumpulan hip-hop Esdeco ini juga sempat berkongsi mengapa beliau mengambil masa yang agak lama untuk meluncurkan karya baharu.
Sabhi menjelaskan bahawa beliau amat teliti dan meletakkan tanda aras yang tinggi, terutamanya selepas impak luar biasa yang ditinggalkan oleh lagu Cinta Sesungguhnya.
“Saya memang seorang yang sangat memilih dalam soal lagu. Biasanya saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk muncul dengan karya baharu. Saya mahu karya yang disampaikan memberi impak positif kepada pendengar, bukannya meninggalkan kesan negatif yang boleh mempengaruhi emosi mereka ke arah perkara tidak baik,” tambahnya lagi.
Untuk edisi kali ini, Sabhi bekerjasama rapat dengan komposer tersohor, Farouk Roman, serta penulis lirik prolifik, Senna. Farouk Roman sendiri memuji keupayaan vokal Sabhi yang disifatkan sangat tepat dan berjaya menghidupkan roh serta emosi jujur lagu tersebut dengan penuh penghayatan.
Bagi anda yang mahu menyelami keindahan melodi penuh cinta ini, ROMANSA kini sudah sedia untuk didengari dan distrim secara rasmi di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
