Liburan Halal Kini Lebih Besar! MATTA Muslim Friendly Travel Fair Kembali Julai Ini, Bawa 123 Reruai Eksklusif!
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Jun 2026 4:37 pm
KUALA LUMPUR: Berita baik buat kaki ‘travel’ dan pemburu pakej percutian halal! Memandangkan permintaan terhadap pasaran pelancongan mesra Muslim yang semakin melonjak naik, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) secara rasmi mengumumkan kepulangan pameran gahnya, MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026.
Pameran edisi kedua yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 4 hingga 5 Julai 2026 bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL).
Hadir pada waktu yang cukup kritikal buat industri pelancongan global, di mana ketibaan pelancong Muslim antarabangsa mencatatkan angka luar biasa mencecah 196 juta pada tahun lepas. MFTF 2026 tampil dengan skala yang jauh lebih besar dan luas.
Sebanyak 123 buah reruai daripada 57 organisasi mengambil bahagian, merangkumi kawasan pameran seluas 2,700 meter persegi. Ini sekali gus meletakkan pameran ini sebagai pasaran paling komprehensif di Malaysia bagi produk, perkhidmatan, dan pengalaman percutian mesra Muslim.

Penganjur bersama-sama rakan strategik penganjuran MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026. (Kiri-kanan) Naib Presiden Penyelidikan & Teknologi di Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Dato’ Haji Mohd Hizzat bin Mohd Shah, Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr. Fazil Khan, Ketua Pembangunan Perniagaan Islam (Bukan Runcit) bagi RHB Islamic Bank Berhad, Ishak Othman dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan
Menurut Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr. Fazil Khan, Malaysia terus menjadi penanda aras global apabila mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) selama 11 tahun berturut-turut.
“MFTF wujud untuk merapatkan jurang antara pengiktirafan global tersebut dengan pertumbuhan perniagaan sebenar bagi ahli-ahli kami. Apabila lebih 100 juta pengembara bergerak di seluruh dunia mencari destinasi dan perkhidmatan yang diyakini, kami mahu ahli MATTA menjadi nama pertama yang terlintas di fikiran mereka,” katanya.
Penganjuran MFTF kali ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan industri utama, antaranya Pusat Pelancongan Islam (ITC) selaku Rakan Strategik, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao (MGTO) sebagai Penaja, dan RHB Bank Berhad yang bertindak sebagai Bank Rasmi.
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan menyatakan bahawa pihaknya komited memperkasakan industri tempatan dengan menyediakan program pembinaan kapasiti bersasar kepada 1,000 ahli MATTA dalam tempoh dua tahun akan datang.
Langkah ini bertujuan melengkapkan penggiat industri dengan kelebihan daya saing bagi menawan pasaran pelancong Muslim yang kian berkembang.
Sementara itu, kehadiran Macao sebagai penaja mencuri tumpuan ramai. Menduduki tangga ke-16 keseluruhan dalam GMTI 2025, Macao membuat kejutan sebagai destinasi baharu yang sangat aktif membangunkan tawaran mesra Muslim, termasuk menggalakkan pensijilan halal bagi sektor makanan (F&B) serta melatih kakitangan pelancongan mereka bagi memahami keperluan pelancong Islam.
Bagi memudahkan urusan transaksi pelawat di sana nanti, RHB Islamic Bank Berhad menerusi Pengarah Urusannya, Dato’ Adissadikin Ali, menyatakan komitmen mereka untuk menyediakan penyelesaian perbankan yang lancar.
Pengunjung boleh memanfaatkan kad seperti RHB Multi Currency Debit Card/-i yang menyokong transaksi sehingga 34 mata wang asing untuk pengalaman percutian yang lebih mudah.
Pameran MFTF 2026 ini dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam. Bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon, pengunjung amat digalakkan untuk datang ke WTC KL dengan menggunakan pengangkutan awam. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk memburu destinasi percutian impian anda!
