Ikuti Kami:

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Sasar 200,000 Pengunjung, Jelajah 6 Negeri

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Sasar 200,000 Pengunjung, Jelajah 6 Negeri

Tourism Malaysia, Star Media Group lancar Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026

 

PETALING JAYA: Sektor pelancongan domestik negara bakal menerima lonjakan besar menerusi peluncuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026. Karnival pelancongan berskala nasional ini menyasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan dalam negara.

Program mega ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Star Media Group Berhad (SMG) dalam menyokong penuh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis pelancaran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 yang berlangsung di Menara Star semalam, telah mengumpulkan para pemain industri, agensi pelancongan, dan pihak media sebagai simbolik jalinan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Membawa tema “Discover, Experience, Explore” (Temui, Alami, Teroka), karnival edisi kedua ini akan menjelajah ke enam buah negeri iaitu Pahang, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Selangor, dan Sarawak. Ia bakal bertindak sebagai platform sehenti bagi memudahkan rakyat Malaysia merancang percutian dan membeli pakej pelancongan bernilai tinggi.

 

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Sasar 200,000 Pengunjung, Jelajah 6 Negeri

 

 

Para peminat percutian boleh mula merancang perjalanan mereka dengan mengunjungi siri karnival ini di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara. Jelajah Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 akan dimulakan di Pahang pada 3 hingga 5 Julai 2026 yang berlangsung di East Coast Mall, Kuantan, menawarkan pelbagai promosi dan pengalaman menarik kepada pengunjung.

Seterusnya, karnival akan bergerak ke selatan tanah air iaitu Johor dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026, bertempat di Paradigm Mall, Johor Bahru. Siri jelajah ini diteruskan ke Sabah pada 14 hingga 16 Ogos 2026 di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, memberikan peluang kepada warga Sabah menikmati tawaran pelancongan eksklusif.

Bagi persinggahan di utara Semenanjung, Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah dari 24 hingga 27 September 2026 di Sunway Carnival Mall. Kemudian, Selangor akan menyusul dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Sunway Pyramid (Zon Orange), yang dijangka menarik kehadiran pengunjung yang ramai.

Akhir sekali, siri karnival ini akan melabuhkan tirainya di Sarawak pada 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Plaza Merdeka, Kuching, sekali gus menutup jelajah nasional dengan pelbagai aktiviti dan tawaran menarik untuk para pengunjung.

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Sasar 200,000 Pengunjung, Jelajah 6 Negeri

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man

 

Sebagai menyahut seruan kerajaan, karnival ini turut menyokong inisiatif “Destinasi Indah, Harga Rahmah” dengan menawarkan pelbagai diskaun eksklusif, promosi tiket penerbangan, pakej penginapan hotel dan resort, serta tawaran mesra poket yang pastinya berbaloi untuk seisi keluarga.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man berkata, sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kpd ekonomi negara dan pemangkin pembangunan komuniti setempat.

“Setiap perjalanan pengembara domestik sebenarnya membuka peluang rezeki kepada pengusaha inap desa (homestay), pemandu pelancong, pemandu e-hailing, vendor makanan, usahawan kraf tangan, dan ribuan perniagaan kecil lain yang menjadi tulang belakang sektor ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Encik Chan Seng Fatt menzahirkan rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia demi menjayakan agenda VM2026. Beliau menegaskan SMG akan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian media mereka yang luas bagi mempromosikan keunikan destinasi tempatan.

Loading...