Ikuti Kami:

Selepas Jamal Abdillah, Amar Amran Kini Pilih Apak Harry KAPAK Untuk ‘Raya Satu Hati’

Selepas Jamal Abdillah, Amar Amran Kini Pilih Apak Harry KAPAK Untuk ‘Raya Satu Hati’

KUALA LUMPUR – Jika tahun lalu usahawan fesyen terkenal, Amar Amran mencuri tumpuan ramai apabila berduet bersama legenda Datuk Jamal Abdillah, tahun ini beliau tampil dengan satu lagi kejutan. Sempena meraikan ulang tahun ke-51 legasinya di dalam industri busana tradisi Melayu, pengasas jenama itu kini memilih untuk bergandingan dengan komposer prolifik, Apak Harry KAPAK menerusi sebuah lagu raya baharu bertajuk “Raya Satu Hati”.

Naskhah bergenre pop etnik ini merupakan ciptaan oleh Apak Harry KAPAK, manakala liriknya pula adalah hasil gabungan idea Ajim Maze dan Amar Amran sendiri. Karya istimewa ini bukan sekadar halwa telinga biasa, malah ia sarat dengan mesej perpaduan jiwa, nilai kekeluargaan, serta kemeriahan bergaya sedondon di pagi Syawal yang cukup sinonim dengan identiti jenama fesyen tersebut.

“Lagu ini membawa mesej perpaduan dan penyatuan jiwa, selari dengan tema besar kempen Amar Amran tahun ini yang menekankan konsep kebersamaan merentasi generasi,” katanya menjelaskan maksud di sebalik bait-bait lagu tersebut.

Selepas Jamal Abdillah, Amar Amran Kini Pilih Apak Harry KAPAK Untuk Raya Satu Hati

Menurut Amar Amran, lagu “Raya Satu Hati” ini diangkat sebagai lagu tema rasmi untuk kempen rayanya bagi tahun 2026. Ia bakal menjadi runut bunyi yang menghiasi pelbagai platform kempen termasuklah filem pendek raya, pertunjukan fesyen, aktivasi butik, dan siri jelajah promosi di seluruh negara.

“Lagu ini akan menjadi runut bunyi rasmi untuk keseluruhan kempen Raya Satu Hati 2026 meliputi filem pendek raya, pertunjukan fesyen, kandungan digital, aktivasi butik serta siri jelajah promosi di seluruh negara,” ujarnya.

Menariknya lagi, pelancaran naskhah ini turut diselarikan dengan pengenalan Koleksi Raya Satu Hati 2026 yang menawarkan lebih 1,000 SKU busana raya sedondon buat seisi keluarga.

Selepas Jamal Abdillah, Amar Amran Kini Pilih Apak Harry KAPAK Untuk Raya Satu Hati

Sementara itu, Apak Harry KAPAK berkongsi bahawa perkenalannya dengan usahawan tersebut pada awalnya bermula atas cadangan Datuk Jamal Abdillah ketika pembikinan lagu raya pertama Amar.

Sebagai komposer, Apak mendedahkan bahawa beliau sudah berjaya menangkap kemampuan vokal Amar yang dikatakan mempunyai tona suara yang hampir sama dengan Datuk Jamal Abdillah.

“Mula-mula saya kenal Amar Amran ni di sebabkan oleh Dato’ Jamal Abdillah. Dia yang mencadangkan nama saya pada Amar Amran untuk buat lagu raya pertama Amar, “Raya Sehati Sedondon”.

“Kali ini saya bukan setakat buatkan lagu kedua untuk Amar Amran yang berjudul “Raya Satu Hati” tapi saya juga turut berpadu suara dengannya.

Keserasian yang wujud antara mereka berdua membolehkan proses rakaman lagu ini disiapkan dalam masa yang sangat singkat, iaitu hanya mengambil masa dua jam di Studio MVM Music.

Bagi peminat yang tidak sabar untuk mendengarkan buah tangan terbaharu ini, lagu “Raya Satu Hati” telah pun dilancarkan secara rasmi di semua platform digital serta saluran media sosial Amar Amran bermula 20 Februari 2026.

Loading...