Ikuti Kami:

Sebelum Kahar, Ada KUDRAT 1968! Prekuel High Council Bongkar Rahsia Paling Gelap

Sebelum Kahar, Ada KUDRAT 1968! Prekuel High Council Bongkar Rahsia Paling Gelap

KUALA LUMPUR – Fenomena francais popular Projek: High Council nampaknya belum memudarkan taringnya apabila Astro Shaw rasmi mengumumkan perluasan sempadan penceritaan terbaharu menerusi naskhah prekuel bertajuk KUDRAT 1968.

Selepas mencetuskan gelombang menerusi siri premium pada tahun 2023 dan filem Kahar: Kapla High Council pada 2024, dunia High Council kini kembali ke titik permulaan paling asal bagi membongkar sejarah kewujudan sistem hierarki rahsia yang dibentuk oleh para pelajar.

Cipta kelainan tersendiri, Astro Shaw buat pertama kalinya di Malaysia memperkenalkan strategi pemasaran dan penceritaan baharu menerusi pendekatan ‘Satu Cerita Dua Format’.

Sebelum pengalaman sinematik KUDRAT 1968 ditayangkan di layar perak, para penonton akan disajikan dahulu dengan empat episod siri premium Astro Originals yang berfungsi membangunkan keterujaan, watak, serta latar belakang dunia penceritaan secara lebih mendalam.

Sebelum Kahar, Ada KUDRAT 1968! Prekuel High Council Bongkar Rahsia Paling Gelap

Barisan pelakon, penerbit dan pengarah KUDRAT 1968! – Dari kiri : Chech Harith, Dai Fuad, Mierul Aiman, Raja Jastina Raja Arshad, Zulaikha Zakaria, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf dan Evertts Gomes

 

Mierul Aiman Kimpal 5 Tunggak Utama Baharu

Bagi menggalas generasi pertama dunia KUDRAT 1968, barisan pelakon utama telah dipilih menerusi sesi uji bakat ketat. Selepas pengumuman nama pelakon popular Mierul Aiman sebelum ini, pihak produksi hari ini rasmi memperkenalkan lima lagi tunggak utama iaitu Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes, dan Chech Harith.

Dari sudut naratif, KUDRAT 1968 mengisahkan perjuangan seorang pelajar yang dipaksa memasuki sebuah institusi yang dibina atas nama bapanya sendiri. Terperangkap di sebalik warisan legasi berkenaan, dia kini berdepan dilema sama ada mahu mempertahankan sistem yang membentuk dirinya atau bertindak menghancurkannya.

Sebelum Kahar, Ada KUDRAT 1968! Prekuel High Council Bongkar Rahsia Paling Gelap

Pengarah, Zulaikha Zakaria

 

Sentuhan Pengarah Muda & Gabungan Kraf Kreatif

Naskhah penuh suspen ini diterajui oleh showrunner Zulaikha Zakaria yang pernah mengendalikan projek berprestij Projek: EXIT dan Projek: High Council. Menerusi projek terbitan PASAL Productions ini, Zulaikha turut membuat debut pengarahan filem pertama bersama pengarah muda berpotensi, Khairi Asyraff.

Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan keyakinannya terhadap evolusi penceritaan terbaharu ini.

“Hari ini, kami memperkenalkan enam pelakon utama yang akan membawa penonton kembali ke asal-usul High Council. Setiap pelakon yang dipilih menerusi sesi uji bakat ini membawa karakter dan tenaga tersendiri untuk menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968.

“Walaupun KUDRAT 1968 merupakan debut pengarahan filem pertama buat Zulaikha, beliau telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan High Council sejak awal sebagai penulis dan pengarah bersama. Digandingkan bersama Khairi Asyraff, kami yakin mereka mampu membawa dimensi baharu kepada francais ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kehadiran empat episod siri premium sebelum tayangan filem membolehkan peminat memahami emosi dan perjalanan watak dengan lebih menyeluruh.

Sebelum Kahar, Ada KUDRAT 1968! Prekuel High Council Bongkar Rahsia Paling Gelap

Bakal Menemui Penonton Tahun Ini

Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, dan HM Entertainment, KUDRAT 1968 dijadualkan menemui penonton di seluruh negara tahun ini. Para peminat digalakkan menggunakan tanda pagar #KUDRAT1968 di platform media sosial serta mengikuti akaun rasmi Astro Shaw untuk mendapatkan perkembangan terkini serta klip eksklusif pementasan visual projek ini.

Loading...