Gaya ‘Black Tie – Stardust Gala’ Jadi Pertaruhan, AJL40 Ingatkan Penonton Patuhi Kod Pakaian!
- oleh Editor MYBUZZ
- 7 Aug 2026 5:14 pm
KUALA LUMPUR – Bahang kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) semakin dirasai apabila pihak penganjur secara rasmi mengumumkan tema busana rasmi bagi edisi paling dinantikan tahun ini.
Meraikan ulang tahun ke-40 perjalanan muzik tanah air pada 15 Ogos 2026, AJL40 mengetengahkan konsep “Black Tie – Stardust Gala” sebagai kod pakaian utama buat semua tetamu, selebriti, dan penonton yang hadir.
Tema berkenaan dipilih bagi mencerminkan gabungan elemen yang elegan, mewah, dan penuh prestij, sejajar dengan pencapaian empat dekad acara anugerah muzik paling berprestij di Malaysia. Penganjuran kali ini membuka ruang buat para hadirin untuk mengekspresikan kreativiti fesyen masing-masing agar tampil menyerlah pada malam gilang-gemalang tersebut.

Menerusi panduan inspirasi gaya yang dikeluarkan, penonton lelaki disarankan menggayakan sut tuxedo atau blazer berpotongan rapi yang dipadankan bersama kemeja serta seluar slek dan kasut kulit. Bagi penonton wanita pula, pilihan gaun malam (dress) bergaya anggun, glamor, serta berseri dengan sentuhan gemerlap kilauan stardust menjadi fokus utama, disempurnakan lagi dengan aksesori perhiasan dan beg tangan yang sesuai.

Bagaimanapun, pihak penganjur turut menekankan satu peringatan penting buat seluruh hadirin yang bakal membanjiri dewan acara.
“PERINGATAN MESRA! Semua penonton wajib mematuhi kod pakaian dan penampilan mengikut jantina masing-masing,” tegas kenyataan berkenaan.

Langkah ini bagi memastikan kelancaran serta mengekalkan suasana gilang-gemalang majlis yang bertaraf mega ini.
Bagi peminat yang tidak berpeluang hadir secara fizikal, malam kemuncak AJL40 boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV3 atau distrim secara dalam talian di platform Tonton. Peminat juga boleh menyemarakkan perbualan di media sosial dengan menggunakan tanda pagar rasmi #AJL40 dan #GENERASISELAMANYAJUARA.
