Ikuti Kami:

KBS Lancar Bulan Rakan Demokrasi, Perkasa Kuasa Orang Muda Sebagai Pemimpin Masa Depan

KBS Lancar Bulan Rakan Demokrasi, Perkasa Kuasa Orang Muda Sebagai Pemimpin Masa Depan

PUTRAJAYA — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara rasminya melancarkan Bulan Rakan Demokrasi menerusi inisiatif strategik Kuasa Orang Muda (KOM) bagi memperkasakan peranan golongan belia dalam pembentukan masa depan negara.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Lobi Menara KBS, Putrajaya itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari. Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Encik Ahmed Faris bin Amir.

Program nasional di bawah payung Rakan Muda ini dirangka khusus untuk memperkukuh literasi politik, kefahaman demokrasi, serta bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda. Langkah ini bertujuan melahirkan warganegara belia yang berpengetahuan, berfikiran kritis, serta mampu membuat keputusan yang matang dan bertanggungjawab demi pembangunan tanah air.

Festival MCASF 2026 di KLCC Jadi Acara Kemuncak

Bagi merancakkan sambutan sepanjang Bulan Rakan Demokrasi, pelbagai aktiviti menarik telah disusun di seluruh negara bagi meluaskan penglibatan anak muda. Kemuncak program adalah penganjuran Festival Kuasa Orang Muda x Mega Careers & Study Fair (MCASF) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Festival ini menggabungkan elemen pembangunan kerjaya dan peningkatan pengetahuan serta tadbir urus negara bagi memastikan orang muda bukan sahaja bersedia menghadapi alam pekerjaan, malah memahami peranan mereka sebagai warganegara dalam pembangunan negara,”ujar beliau.

KBS Lancar Bulan Rakan Demokrasi, Perkasa Kuasa Orang Muda Sebagai Pemimpin Masa Depan

Belia digesa lebih aktif dalam demokrasi menerusi Inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM). – Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari. Gambar @fb/KBSMalaysia

 

Dekati Belia Menerusi Jelajah IPT & Program Komuniti

Bagi memastikan maklumat dan pendedahan demokrasi sampai secara menyeluruh, KBS turut menggerakkan aktiviti secara langsung menerusi ‘Street Team’, reruai interaktif, serta Siri Jelajah KOM.

Antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan lokasi tumpuan yang bakal dilawati merangkumi:

  • Institusi Pendidikan: Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Merlimau, dan MAHSA University.
  • Program Komuniti Strategik: Pasar Siswa di Pahang, Business Festival di University College MAIWP International (UCMI) Kuala Lumpur, serta kawasan santai Lorong Belakang di Cyberjaya.

Portal Digital KOM: Bawa Pandangan Belia Terus Ke Pembuat Dasar

Bagi melengkapkan pendekatan fizikal, KBS turut memanfaatkan medium digital dengan menyediakan platform e-pembelajaran interaktif berkaitan polisi awam dan sosioekonomi tempatan yang boleh diakses menerusi portal belajar.kuasaorangmuda.com.

Portal ini turut memperkenalkan komponen khas iaitu ‘Suara Kuasa Orang Muda’. Komponen ini berfungsi sebagai saluran rasmi untuk menghimpun, mengumpul, dan menganalisis aspirasi serta pandangan anak muda secara berstruktur, inklusif, dan neutral. Analisis yang dibuat akan disalurkan secara sistematik untuk pertimbangan terus para pembuat dasar dan polisi negara.

Sehubungan itu, KBS menyeru seluruh anak muda di Malaysia untuk mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang Bulan Rakan Demokrasi ini. Pendaftaran adalah percuma menerusi portal KOM sebagai langkah awal menyuarakan pandangan dan menyumbang kepada masa depan negara.

Loading...