KUALA LUMPUR — Belum pun menemui penonton di pawagam Malaysia, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, sudah mencatat pencapaian besar apabila menerima lima pencalonan pada Anugerah Golden Horse ke-63.
Lebih membanggakan, dua pelakon tempatan turut melakar sejarah menerusi pencalonan tersebut apabila Mhia Firdaus menjadi pelakon Melayu pertama, manakala Nandagopall Mohan muncul sebagai pelakon India Malaysia pertama yang dicalonkan di pentas berprestij itu.
Filem arahan Tang Hsiang-Chu itu turut melibatkan Jin Ong, pengarah filem Abang Adik, bersama Yeh Jufeng sebagai penerbit eksekutif.

SAYANG SAYANG raih 5 pencalonan Golden Horse Ke-63, cipta sejarah buat bakat Malaysia.
Lima Pencalonan, Daripada Lakonan Hingga Kesan Visual
SAYANG SAYANG menerima pencalonan dalam lima kategori yang merangkumi aspek kreatif, lakonan dan teknikal. Antaranya:
- Lakon Layar Asal Terbaik — Tang Hsiang-Chu
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik — Mhia Firdaus
- Pelakon Baharu Terbaik — Nandagopall Mohan
- Kesan Bunyi Terbaik — Wu Shu-Yao, Hsu Chiao-Han & Liu Pei-Min
- Kesan Visual Terbaik — Tomi Kuo, Ivan Lin & Hannah Han
Pencalonan merentasi lima bidang ini memperlihatkan bagaimana filem berkenaan bukan sahaja mendapat perhatian dari sudut lakonan dan penceritaan, tetapi turut diiktiraf menerusi kerja teknikal di belakang tabir.

Mhia Firdaus dan Nandagopall Mohan ukir sejarah di Golden Horse menerusi SAYANG SAYANG.
Mhia, Nandagopall Bawa Nama Malaysia
Bagi Mhia Firdaus, pencalonan itu mempunyai makna tersendiri kerana meletakkannya sebagai sebahagian daripada sejarah Golden Horse.
Menurut Mhia, pengiktirafan tersebut juga menjadi bukti bahawa cerita dan bakat dari Malaysia mampu merentasi bahasa serta sempadan.
Beliau turut mendedikasikan pencalonan berkenaan kepada keluarganya serta seluruh pasukan SAYANG SAYANG yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjayakan watak dalam filem itu.
Nandagopall pula menerima pencalonan Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem pertamanya, satu pencapaian yang dianggap tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Lebih daripada pengiktirafan tersebut, pelakon itu melihat peluang membawa watak Ajay sebagai ruang untuk mengetengahkan pengalaman individu daripada komuniti pekak dan bisu serta tema tentang keberanian, ketabahan dan keinginan untuk didengari.

Jin Ong dan Tang Hsiang-Chu bangga SAYANG SAYANG diiktiraf Golden Horse Ke-63.
Malaysia Dari Kaca Mata Pengarah Taiwan
SAYANG SAYANG turut mencatat satu lagi keunikan apabila menjadi filem Malaysia pertama diarahkan pembikin filem Taiwan, Tang Hsiang-Chu.
Hubungan Tang dengan Malaysia sebenarnya sudah bermula sejak lebih dua dekad lalu selepas pertama kali berkunjung ke negara ini bersama pasukan filem Summer Holiday.
Kepelbagaian budaya, kaum dan cara hidup rakyat Malaysia kemudian menjadi antara sumber inspirasinya dalam membentuk dunia SAYANG SAYANG.
Tang bukan nama asing di Golden Horse. Dokumentarinya, How High Is the Mountain, pernah memenangi Dokumentari Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-39. Namun, pencalonan menerusi SAYANG SAYANG kali ini merupakan pencalonan pertamanya sebagai pengarah filem.

Sayang Sayang: Sebuah kisah tentang keluarga, persahabatan dan harapan.
Kisah Tiga Anak Muda Di Pantai Timur
Berlatarkan Pantai Timur Malaysia, SAYANG SAYANG mengikuti perjalanan tiga anak muda daripada latar berbeza — Ajay, Mina dan San San dalam mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan. Melalui hubungan yang terbina antara mereka, filem itu membawa tema kasih sayang, penerimaan dan pemahaman merentasi perbezaan budaya, bahasa serta cara hidup.
Jin Ong pula berharap penggunaan Pantai Timur sebagai latar utama dapat memperlihatkan satu sisi Malaysia yang jarang diketengahkan di layar perak. Beliau mula mengenali projek itu selepas membaca skrip yang diterima melalui penerbit Nicole Teoh pada 2022.
Himpunkan Lebih 100 Pelakon & Tenaga Filem
Skala produksi SAYANG SAYANG turut membabitkan lebih 100 pelakon dan penggiat filem dari Malaysia, Taiwan dan India.
Antara nama yang terlibat ialah Lee Lee-Zen, Sasha Tang, Jo Kukathas, Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman, Mia Tan Shu Man, Jonathan Lee dan Tan Li Yang.
Malah sebelum lima pencalonan Golden Horse ini, lakon layar SAYANG SAYANG pernah meraih Outstanding Award pada Excellent Screenplay Awards ke-44 dan dipilih menyertai Golden Horse Film Project Promotion.
Filem itu akan terlebih dahulu menemui penonton Taiwan pada 16 Oktober 2026, sebelum ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November 2026.
Dengan lima pencalonan dan dua pencapaian bersejarah buat pelakon Malaysia, perjalanan SAYANG SAYANG menuju Golden Horse ke-63 kini bukan lagi sekadar kisah sebuah filem tetapi turut membawa bersama wajah dan bakat industri perfileman tempatan ke pentas antarabangsa.

