KUCHING – Landskap seni suara Malaysia semalam melakar satu lagi lembaran bersejarah apabila Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Bersempena sambutan Jubli Perak edisi kali ini, pentas berprestij tersebut telah mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dianjurkan di luar Lembah Klang, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah bagi meraikan barisan penggiat seni, bintang ternama, serta bakat-bakat baharu industri muzik tanah air.

Foto (tengah) Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Majlis berprestij bertaraf nasional itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Dikendalikan oleh gandingan pengacara versatil Awal Ashaari bersama Scha Alyahya, serta personaliti TVS, Sheera Abang Mansur, malam kemuncak AIM25 benar-benar hidup dan memukau penonton. Pentas gemilang itu digamatkan dengan persembahan bertenaga daripada barisan artis popular dan penghibur serantau termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Hujan, dan Estranged.
Kepelbagaian genre yang diketengahkan – merangkumi pop, rock, hip hop, etnik, tradisional, hinggalah kepada identiti muzik Borneo – berjaya menyatukan pelbagai lapisan peminat muzik merentas generasi.
Penyanyi dan komposer Mimifly muncul antara nama paling menyerlah pada malam tersebut apabila membolot lima trofi kemenangan. Kejayaan manis itu diraih menerusi kategori Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik (“Temberang”), Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (“Nara”), serta Lagu Perayaan Terbaik dan Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok menerusi “Serumpun”.

Foto Datuk Seri Siti Nurhaliza
Sementara itu, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza terus membuktikan keunggulan legasinya dengan merangkul empat kemenangan. Antaranya termasuk Vokal Wanita Terbaik (“Kesuma”), Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis Luar Negara Terbaik (“Cenderamaya”), serta Lagu Tradisional Terbaik dan anugerah paling berprestij malam itu, Lagu Terbaik, menerusi karya agung “Pesanan Buat Diri” ciptaan Aubrey Suwito dan Datuk Habsah Hassan.

Foto Aisha Retno
Bakat muda berbakat besar, Aisha Retno, turut mencuri tumpuan dengan membawa pulang tiga trofi, termasuk Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik menerusi album [RE.HAB], serta Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi “O.R.B.I.T”.

Foto Mawat
Satu lagi sejarah dilakar menerusi pengenalan kategori baharu, Lagu Borneo Terbaik, yang diwujudkan khas bagi mengiktiraf karya berteraskan identiti muzik kepulauan itu. Penyanyi asal Sarawak, Mawat, mencipta sensasi apabila diumumkan sebagai penerima sulung kategori tersebut menerusi lagu “Dayang Bintang”.

Foto Ella
Malam bersejarah itu turut menyaksikan legenda rock negara, Ella, dianugerahkan Anugerah Sri Wirama sebagai penghormatan tertinggi atas sumbangan dan perjalanan seni luar biasa beliau sepanjang berkecimpung dalam industri muzik Malaysia.
Sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama, TVS membuktikan keupayaan cemerlang stesen penyiaran tempatan dalam mengendalikan siaran berskala nasional. Siaran langsung menerusi TVS Saluran 122, aplikasi TVS Inspire, serta platform media rasmi telah merekodkan pencapaian membanggakan dengan lebih 24.5 juta tontonan dan keterlibatan digital (engagement) di seluruh platform.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Tuan Haji Kushairi Abang, ketika ditemui menyifatkan penganjuran ini sebagai satu platform penting untuk merapatkan jurang seni antara Semenanjung dan Borneo.
“Kami melihat penganjuran AIM25 di Sarawak sebagai detik penting buat TVS untuk mendekatkan kemeriahan dan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara, di samping mengetengahkan bakat serta karya tempatan, khususnya dari Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional,” ujar beliau.
Bagi penonton yang terlepas peluang menyaksikan malam penuh bersejarah ini atau ingin mengimbas kembali detik-detik kemuncak, TVS turut membawakan siaran ulangan rasmi pada Jumaat (2 Oktober 2026) jam 11.00 malam dan Ahad (4 Oktober 2026) jam 7.30 pagi di Saluran 122 serta aplikasi TVS Inspire.
AIM25 bukan sekadar meraikan ulang tahun perak sebuah anugerah, malah berjaya merealisasikan aspirasi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta TVS dalam memartabatkan martabat seni suara negara ke tahap yang lebih tinggi.







