Ikuti Kami:

Sanggup Simpan Lagu Setahun! Eddie Hamid Satukan Semula Eda Ezrin & Den Manjo Menerusi ‘Adek Saye Abe Sore’

Sanggup Simpan Lagu Setahun! Eddie Hamid Satukan Semula Eda Ezrin & Den Manjo Menerusi ‘Adek Saye Abe Sore’

KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu “Cinta Setandan Pisang” (atau lebih sinonim dengan tajuk “Bae Soba Bae”) pada Disember 2023, gandingan serasi Eda Ezrin dan Den Manjo kini kembali bersatu. Pasangan duet ini mempertaruhkan buah tangan terbaharu berjudul “Adek Saye Abe Sore” yang juga merupakan kesinambungan kepada karya hit tersebut.

Naskhah terbaharu ini mendapat sentuhan magis komposer tersohor, Eddie Hamid, yang bergandingan bersama komposer berbakat, Mekiya. Penulisan liriknya pula digarap indah oleh barisan penulis lirik iaitu Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, dan Te Ha.

Sanggup Simpan Lagu Setahun! Eddie Hamid Satukan Semula Eda Ezrin & Den Manjo Menerusi Adek Saye Abe Sore

Penerbitan lagu ini membuktikan keteguhan kepercayaan dan kesetiaan Eddie Hamid terhadap bakat Eda Ezrin. Menurut Eddie, karya tersebut sebenarnya telah siap lebih setahun lalu, namun terpaksa disimpan berikutan insiden dan episod hitam yang pernah dilalui oleh Eda.

Walaupun menerima banyak permintaan daripada penyanyi lain yang berharap untuk membawakan lagu itu, Eddie tetap berpegang pada pendiriannya untuk menyimpannya khusus buat Eda Ezrin. Beliau menegaskan bahawa vokal dan genre lagu berkenaan paling tepat dengan identiti Eda, sekali gus mengekalkan kesinambungan karya asal mereka.

Berbeza dengan naskhah sebelumnya, “Adek Saye Abe Sore” tampil dengan sentuhan susunan muzik yang lebih moden, namun masih mengekalkan keaslian elemen dikir barat yang menjadi kekuatan dan tanda pengenalan mereka.

Sanggup Simpan Lagu Setahun! Eddie Hamid Satukan Semula Eda Ezrin & Den Manjo Menerusi Adek Saye Abe Sore

Bagi Eda Ezrin (Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail), 31, peluang yang diberikan oleh Eddie untuk kembali bergandingan dengan Den Manjo merupakan satu saat yang amat dinantikan. Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan pantas kerana keserasian serta pemahaman tanggungjawab masing-masing bersama Den, Eda tidak dapat menyembunyikan rasa debarnya.

“Bohonglah kalau kata saya tak berdebar sewaktu diberi lagu ini. Saya berdebar sebab tahu mesti orang akan bandingkan dengan lagu sebelum ini,” luah Eda, merujuk kepada pencapaian luar biasa lagu terdahulu yang berjaya meraih lebih 33 juta tontonan di saluran YouTube Kijang Music.

Beliau tetap bersyukur dan berdoa agar naskhah baharu ini diterima hangat serta mampu mendaki tangga teratas carta.

Sanggup Simpan Lagu Setahun! Eddie Hamid Satukan Semula Eda Ezrin & Den Manjo Menerusi Adek Saye Abe Sore

Sementara itu, rakan duetnya, Den Manjo (Mohamad Hafizzudin Md. Yusof), 30, menyifatkan peluang merakamkan lagu terbitan Kijang Music ini sebagai satu hadiah yang tidak ternilai harganya. Beliau amat bersyukur dan tidak sabar menantikan reaksi pendengar setelah sekian lama menunggu untuk kembali berpadu suara dengan Eda.

“Walaupun terpaksa tunggu lama tapi saya tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dengan Eda. Saya harap lagu ini juga mendapat sambutan hangat seperti mana lagu duet kami sebelum ini,” katanya.

Diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music Malaysia, peminat kini boleh menstrim lagu “Adek Saye Abe Sore” di semua platform penstriman muzik digital bermula 26 Mac 2026. Muzik videonya juga telah sedia untuk ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Kijang Music sejak 25 Mac 2026 jam 8 malam.

Loading...