Ikuti Kami:

KPM Junjung Titah Agong: Keselamatan Warga Sekolah Jadi Keutamaan Mendepani Cuaca Panas

KPM Junjung Titah Agong: Keselamatan Warga Sekolah Jadi Keutamaan Mendepani Cuaca Panas

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan komitmen penuh dalam menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkaitan aspek kebajikan warga sekolah. Baginda sebelum ini menitahkan agar keselamatan serta kesejahteraan murid, guru, dan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara memandangkan keadaan cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini.

Menurut kenyataan media rasmi yang dikeluarkan, KPM menyifatkan titah Seri Paduka Baginda sebagai satu peringatan penting buat semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi garis panduan sedia ada bagi menghadapi fenomena cuaca panas.

Sebagai respons segera terhadap situasi tersebut, KPM telah mengeluarkan arahan tegas kepada semua institusi pendidikan untuk mengambil langkah-langkah berikut iaitu membuat pemantauan aktiviti luar dimana semua sekolah dikehendaki memantau pelaksanaan sebarang aktiviti luar bilik darjah bagi mengelakkan pendedahan melampau kepada cuaca panas.

Bagi memastikan keselesaan, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru, dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa bertugas atau berada di sekolah. Kebajikan Warga Sekolah Keutamaan KPMKPM menegaskan bahawa langkah berjaga-jaga ini adalah kritikal demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan dalam persekitaran yang selamat dan sihat.

Pihak pentadbiran sekolah disarankan untuk terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta memastikan kesihatan murid sentiasa berada dalam keadaan optimum sepanjang berada di premis pendidikan.

Arahan ini berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan warga sekolah kekal menjadi keutamaan dalam menghadapi cabaran cuaca semasa.

Loading...