Ikuti Kami:

Filem Aksi Pemotoran Paling Ditunggu Tahun 2026, ‘Malaikat Malam’ Kini Sedia Gegar Pawagam

Filem Aksi Pemotoran Paling Ditunggu Tahun 2026, ‘Malaikat Malam’ Kini Sedia Gegar Pawagam

KUALA LUMPUR – Pencinta filem aksi tempatan bakal disajikan dengan sebuah naskhah epik apabila empat gergasi perfileman negara bersatu tenaga. Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, dan Primeworks Studios dengan bangganya mempersembahkan Malaikat Malam, sebuah filem aksi romantik bertemakan pemotoran yang akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Malam gala tayangan filem itu berlansung malam semalam di GSC Cinemas Mid Valley, Kuala Lumpur yang turut dihadiri barisan pelakon dan pengarah filem tersebut serta peminat-peminat filem aksi permotoran dalam suasana sambutan Hari Raya yang masih lagi diraikan.

Filem Aksi Pemotoran Paling Ditunggu Tahun 2026, Malaikat Malam Kini Sedia Gegar Pawagam

Berbeza daripada lambakan filem ‘rempit’ sedia ada, filem Malaikat Malam berdurasi 100 minit ini tidak hanya memfokuskan kepada aksi motosikal semata-mata, sebaliknya mengangkat nilai kesetiaan, pengorbanan, dan tujuan hidup. Ia memaparkan kisah Azam, lakonan Syafiq Kyle, seorang pelumba jalanan di Kuala Lumpur yang terperangkap dalam dunia kelajuan dan pilihan berisiko.

Perjalanan Azam berubah apabila dia secara tidak sengaja melanggar Ratna, seorang gadis buta lakonan Tracie Sinidol, yang sudi menerimanya seadanya dan menjadi cahaya dalam hidupnya. Namun, Azam terpaksa berhadapan dengan bayangan pengkhianatan, dendam, dan tragedi yang memaksanya membuat keputusan paling sukar demi masa depan Ratna dan orang-orang tersayang.

Malaikat Malam menandakan kemunculan sulung Nazifdin Nasrudin di kerusi pengarah. Berbekalkan pengalaman sebagai penyunting dan penulis untuk filem pecah panggung seperti Sheriff dan Reversi, Nazifdin berazam memecahkan stereotaip dunia ‘mat motor’ dengan naratif yang lebih jujur, berlapis, dan menyentuh keseimbangan emosi serta aksi.

Filem Aksi Pemotoran Paling Ditunggu Tahun 2026, Malaikat Malam Kini Sedia Gegar Pawagam

Karya ini turut mendapat sentuhan Syafiq Yusof selaku penerbit, manakala Datuk Dr. Yusof Haslam bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Datuk Dr. Yusof Haslam menyifatkan filem ini sebagai satu usaha untuk menaik taraf genre pemotoran menerusi penceritaan yang lebih kemas, skrip yang kuat, dan disiplin produksi yang tinggi tanpa hanya menjual aksi kosong.

Selain Syafiq Kyle yang menyahut cabaran membawa watak ‘mat rempit’ buat pertama kali, filem ini turut mencuri perhatian dengan kemunculan semula aktor berkaliber Que Haidar ke layar perak menerusi watak Arash. Kehadiran beliau bukan sahaja menambah nilai pada jalan cerita, tetapi juga menghidupkan kembali pesona lakonannya yang sudah lama dirindui peminat.

Naskhah yang menjalani penggambaran selama 21 hari di sekitar Lembah Klang dan Perlis ini turut dibarisi barisan pelakon hebat lain. Antaranya ialah Amir Nafis sebagai Boy, Kodi Rasheed sebagai Jimmy, Juzzthin sebagai Mat Jet, Akmal Asyraf sebagai Kutu, dan Riezman Khuzaimi yang membawakan watak Ayah Ratna.

Filem ini juga diserikan dengan penampilan istimewa (cameo) oleh Cat Farish dan Razib Salimin, menjadikan keseluruhan produksi lebih segar dan bertenaga melalui gabungan wajah lama dan baharu dalam industri.

Loading...