Rebut Kontrak RM200,000! Big Stage X Rocketfuel Buka Gelanggang Buat 10 Bintang Baharu
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Jun 2026 4:05 pm
KUALA LUMPUR: Program realiti nyanyian popular, Big Stage kembali mewarnai industri hiburan tanah air bagi musim keenam dengan nafas yang serba baharu. Menerusi kolaborasi bersejarah bersama Rocketfuel Entertainment, edisi Big Stage X Rocketfuel kali ini bukan lagi sekadar medan pertandingan nyanyian, sebaliknya sebuah platform evolusi pembinaan kerjaya seni yang komprehensif.
Habuan utama musim ini nyata bukan calang-calang. Tiga peserta terbaik di pentas akhir berpeluang merangkul Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000. Menariknya, pakej tajaan ini merangkumi penghasilan ‘single’ dan video muzik, latihan vokal, pembentukan imej, bimbingan media, hingga ke pengurusan media sosial.
Sembilan penyanyi solo dan satu gandingan duo telah melayakkan diri ke pentas berprestij ini. Mereka membariskan bakat dari pelbagai latar belakang yang pasti mencuri tumpuan penonton:

- Rieffa (18 tahun): Peserta termuda musim ini yang juga anak kepada pempengaruh Ayu Kepoh. Menjadikan ‘busking’ sebagai platform mengasah bakat, dia turut fasih menyanyikan lagu Tamil.

- Sabrina: Pelajar Ijazah Muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini mempertaruhkan instrumen akordion sebagai identiti eksklusifnya. Wajahnya sering disamakan dengan Ariana Grande dan Jessica Alba.

- Ranisha: Berasal dari Labuan, pelajar Sarjana Muzik Universiti Malaya (UM) ini memiliki kelebihan menyanyi dalam empat bahasa asing iaitu Mandarin, Kantonis, Jepun, dan Korea.

- Aliff Kimiey: Bakat media sosial dan pencipta kandungan dari Kelantan yang meraih 700 ribu tontonan menerusi lagu Mungkir.

- Danny: Seorang pengacara penstriman langsung (live host) di TikTok dan Shopee yang pernah meledak dengan lagu Hanya You.

- Danial Kifli: Nama Danial sudah dikenali menerusi lagu hit Pergilah Cinta yang telah menerima lebih 12 juta tontonan di platform penstriman video Youtube.

- Qilo: Pelajar jurusan komunikasi visual dari ASWARA yang juga anak kepada pelukis M. Azri Abdullah.

- Sufie Rose : Seorang eksekutif jualan hotel yang berkebolehan menyanyi dan melakukan ‘rap’ bertekad membuktikan vokal tanpa ‘high note’ mampu pergi jauh.

- Yad-z: Seorang yang suka membahagikan masa sebagai perunding jualan Proton, jurulatih kecergasan dan penyanyi bersama Hallos.band.

- Adam & Nazmie: Pasangan adik-beradik ini melengkapkan senarai Top 10. Si abang (Adam) bekerja sebagai pelakon ekstra dan penyanyi majlis perkahwinan, manakala si adik (Nazmie) merupakan seorang introvert yang berbakat mencipta lagu.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, penglibatan Rocketfuel mencerminkan komitmen Astro untuk mewujudkan sistem sokongan bakat yang mampan. Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan peluang pendedahan industri ini untuk melangkah lebih jauh.
Sepanjang siaran, Big Stage X Rocketfuel akan dikendalikan oleh pengacara versatil, Nabil Ahmad. Sementara itu, kehebatan vokal peserta akan dinilai 100 peratus oleh juri profesional. Komposer hit Hael Husaini kembali duduk di kerusi juri tetap. Beliau bakal diapit oleh dua bintang kelahiran program realiti Astro, iaitu Akim Ahmad dan Aisha Retno.
Namun, nasib tiga bintang yang bakal membawa pulang kontrak RM200,000 kelak akan diserahkan kembali kepada peminat menerusi gabungan undian dalam talian pada malam kemuncak.
Bakal bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam di saluran Astro Ria bermula 28 Jun 2026, jam 9 malam, program Big Stage X Rocketfuel menuntut 10 peserta berbakat besar bertarung selama lapan minggu dalam persaingan penuh debaran bagi merebut tempat sebagai yang terbaik!
