Ikuti Kami:

Selepas Wacken & Download Festival, Kini Lovebites Sedia Tawan Malaysia

Selepas Wacken & Download Festival, Kini Lovebites Sedia Tawan Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas menggegarkan festival metal gergasi antarabangsa seperti Wacken Open Air, Download Festival, dan Graspop Metal Meeting, kumpulan heavy metal wanita sensasi dari Jepun, Lovebites, akhirnya bakal menjejakkan kaki ke Malaysia buat julung kalinya.

Impian peminat tempatan bakal menjadi realiti menerusi konsert Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober depan.

Berita gembira ini diumumkan oleh pihak penganjur, Rockstage Entertainment, yang serta-merta mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik metal tanah air yang selama ini hanya mengikuti perkembangan mereka menerusi alam maya dan album fizikal.

Selepas Wacken & Download Festival, Kini Lovebites Sedia Tawan Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 2016, Lovebites bukan sahaja memecahkan stereotaip genre heavy metal yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki, malah diiktiraf sebagai pemuzik virtuoso. Kumpulan ini dianggotai oleh lima pemuzik wanita berbakat besar iaitu Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass), serta Haruna (dram).

Mereka mempertaruhkan gabungan muzik power metal, speed metal, dan melodic metal yang sarat dengan kemahiran teknikal bertaraf antarabangsa. Membuktikan kehebatan mereka di pentas global, Lovebites pernah memenangi anugerah “Best New Band” di acara berprestij Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom.

Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, menyatakan bahawa kehadiran kumpulan fenomena global itu ke Malaysia telah lama dirancang berikutan permintaan yang sangat tinggi daripada peminat metal tempatan.

“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia,” jelas beliau.

Pihak penganjur turut menjanjikan produksi berskala penuh merangkumi sistem bunyi dan pencahayaan bertaraf tinggi bagi memastikan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik.

Selepas Wacken & Download Festival, Kini Lovebites Sedia Tawan Malaysia

Menurut Talib, peminat bakal merasai sendiri pengalaman audio dan visual yang setanding dengan kualiti persembahan Lovebites di Jepun, Eropah, dan Amerika Syarikat. Beliau juga menyifatkan kehadiran Lovebites sebagai bukti bahawa Malaysia kini semakin mendapat perhatian penganjur dan artis antarabangsa berikutan sokongan komuniti metal tempatan yang sangat besar dan luar biasa.

Bagi melengkapkan malam yang dijangka bersejarah itu, peminat boleh menantikan persembahan bertenaga lagu-lagu popular daripada deretan album dan EP mereka yang mendapat pujian pengkritik seperti Awakening From Abyss, Electric Pentagram, dan Judgement Day.

Antara karya yang dijangka menjadi kemuncak persembahan termasuklah Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day, dan We The United. Tiket untuk menyaksikan amukan sulung ratu metal Jepun di Kuala Lumpur ini boleh didapati secara rasmi mulai 18 Jun 2026 menerusi platform MyTicket Empire.

Loading...