Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru Masuk Fasa Penting, Cabutan Undi Unit Ganti Disempurnakan KL City Gateway
- oleh Editor MYBUZZ
- 14 Jun 2026 5:33 pm
KUALA LUMPUR: Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru kini melangkah ke satu lagi fasa yang amat penting apabila Majlis Cabutan Undi Unit Ganti berjaya dilangsungkan pada hari ini. Syarikat pemaju, KL City Gateway Sdn Bhd memaklumkan bahawa majlis cabutan undi tersebut telah berjalan dengan lancar, teratur serta dilaksanakan dengan penuh ketelusan selaras dengan prosedur yang telah dipersetujui bersama.
Langkah ini menandakan kesinambungan penting kepada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan yang telah pun disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada 31 Oktober 2025 yang lalu.

“Bukti Projek Terus Maju” – (kiri) Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Puan Sanita memuji kelancaran Majlis Cabutan Unit Rumah Ganti Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang diadakan pagi tadi. Lebih 200 pemilik hartanah terlibat hadir bagi menyelesaikan acara tersebut tanpa sebarang isu. (kiri) Pengarah KL City Gateway Sdn Bhd, Encik Abdul Hadi Ahmad.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Puan Sanita menyifatkan majlis pada hari ini sebagai sebuah perkembangan utama dalam usaha merealisasikan pembangunan semula kawasan itu.
“Majlis hari ini bukan sekadar proses penentuan unit, tetapi merupakan satu lagi langkah penting yang membuktikan bahawa Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru terus bergerak ke hadapan,” jelas beliau.
Tambah Puan Sanita, pelaksanaan majlis ini menjadi bukti nyata terhadap komitmen semua pihak untuk memastikan setiap proses berjalan secara teratur, telus dan adil berpaksikan perjanjian yang dimeterai.
Dalam pada itu, Pengarah KL City Gateway Sdn Bhd, Encik Abdul Hadi Ahmad menegaskan bahawa proses penentuan unit ganti telah dilaksanakan secara berdisiplin serta menepati segala perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan cabutan undi yang dibuat adalah bersifat muktamad dan dilaksanakan melalui mekanisme yang ketat, berpandukan sepenuhnya kepada Perjanjian Usahasama yang menjadi asas kepada pelaksanaan projek ini.

Pemilik tarik nafas lega, cabutan Unit Rumah Ganti dilaksana secara adil dan beintegriti.
Menyentuh mengenai perkembangan seterusnya, Encik Abdul Hadi memaklumkan bahawa setiap pemilik hartanah yang terlibat akan melalui proses penyempurnaan dokumen berkaitan unit ganti masing-masing selepas cabutan undi ini selesai dilaksanakan.
Segala dokumen yang disediakan akan menjadi rujukan rasmi yang sah dan akan diguna pakai sehingga kediaman ganti tersebut siap sepenuhnya pada masa akan datang.
Bagi memastikan tahap integriti tertinggi dalam pengundian, proses tersebut telah disaksikan oleh beberapa pihak sebagai pemerhati. Antaranya termasuklah wakil Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Peguam Persatuan, Peguam Pemaju, dan wakil daripada Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru.
KL City Gateway Sdn Bhd menerusi kenyataannya terus mengekalkan komitmen teguh untuk menjalankan Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru secara teratur, bertanggungjawab dan profesional demi memastikan segala manfaat pembangunan dinikmati oleh pemilik yang terlibat. Pihak pemaju juga tidak ketinggalan merakamkan ucapan penghargaan buat komuniti dan pihak berwajib atas kerjasama menjayakan majlis berkenaan.
