Ikuti Kami:

PETRA Lancar Program SuRIA Home Bantu Rakyat Kurangkan Bil Elektrik

PETRA Lancar Program SuRIA Home Bantu Rakyat Kurangkan Bil Elektrik

Program SuRIA Home perkenal rebat solar hingga RM3,000 untuk isi rumah.

 

PUTRAJAYA: Dalam usaha meringankan beban rakyat mendepani lonjakan kos sara hidup dan utiliti, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melancarkan inisiatif baharu iaitu program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home. Program ini diperkenalkan khusus bagi membantu rakyat mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar bumbung kediaman.

Pengumuman inisiatif tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah bin Haji Yusof, sewaktu Perhimpunan Bulanan PETRA di Menara PETRA pada 22 Mei.

Menurut kementerian, langkah proaktif ini digerakkan bagi membantu rakyat menampan impak krisis bekalan global berikutan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran yang dipicu oleh konflik geopolitik di Asia Barat, di samping usaha memacu agenda peralihan tenaga negara.

Kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM150 juta bagi menjayakan inisiatif SuRIA Home sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan kos tenaga. Menerusi program ini, pengguna domestik berpeluang menikmati penjimatan yang signifikan melalui pemasangan sistem solar di kediaman masing-masing.

Di bawah insentif yang ditawarkan, rebat tunai sebanyak RM600 akan diberikan bagi setiap pemasangan 1kWac sistem solar melalui program Solar ATAP. Jumlah tuntutan ini dihadkan sehingga maksimum RM3,000, bersamaan dengan kapasiti pemasangan 5kWac bagi setiap isi rumah yang layak.

Program ini disasarkan untuk memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 buah rumah di seluruh negara. Secara keseluruhan, inisiatif ini dijangka menyumbang kepada kapasiti solar terkumpul sekitar 250MW, sekali gus memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor kediaman di Malaysia.

PETRA Lancar Program SuRIA Home Bantu Rakyat Kurangkan Bil Elektrik

Bil elektrik turun! PETRA tawar rebat solar hingga RM3,000 untuk rakyat – Gambar Hiasan

 

Pelaksanaan program rebat ini akan bermula pada 1 Jun 2026 dan ditawarkan berdasarkan konsep “siapa cepat dia dapat” (first come, first served). Ia terbuka kepada pemasangan di bawah program Solar ATAP yang beroperasi sehingga 31 Disember 2026, atau sehingga kuota 250MW diisi sepenuhnya (mana-mana yang terdahulu).

Bagi memastikan pengagihan bantuan dilaksanakan secara adil dan telus, kelayakan hanya tertakluk kepada warganegara Malaysia berstatus pengguna individu Domestik Voltan Rendah (LV) yang telah berjaya memulatugas sistem solar ATAP bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Setiap individu hanya layak menuntut rebat ini sekali sahaja, manakala pengguna yang pernah menerima bantuan atau rebat solar sebelum ini adalah tidak layak untuk memohon.

Proses pembayaran juga dipermudah dan mesra pengguna. Pengguna yang layak akan dimaklumkan melalui e-mel yang didaftarkan dengan TNB untuk menyerahkan butiran akaun bank mereka. Pembayaran kemudiannya akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank tempatan atas nama pelanggan berdaftar sebaik sahaja pengesahan dilakukan oleh pihak TNB.

Dalam kenyataan yang sama, PETRA turut memberi amaran tegas bahawa tindakan penyenaraian hitam akan dikenakan ke atas mana-mana pihak—termasuk syarikat penyedia kelengkapan solar—sekiranya mereka didapati menyalahgunakan sistem permohonan seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan TNB. Mereka yang disenarai hitam tidak akan dibenarkan menyertai sebarang program insentif pada masa hadapan.

Pelaksanaan inisiatif SuRIA Home ini merupakan cerminan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dirasai secara langsung oleh segenap lapisan rakyat. Ia juga merupakan salah satu langkah kritikal negara dalam mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.

Gambar: FB/Datuk Amar Fadillah bin Haji Yusof

Loading...