Gegar Dua Kota! Wings Kembali Mengamuk di Pentas Hard Rock Cafe Julai Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 May 2026 11:07 am
Foto: Kumpulan Wings ketika sesi sidang media di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, bakal kembali menghangatkan persada muzik tempatan menerusi penganjuran siri showcase eksklusif bertajuk “Wings Sunday Night Live” yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai depan. Siri persembahan berskala intim ini diadakan bersempena dengan promosi album terbaharu mereka, Wings New Era. Penganjuran ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Awie Entertainment bersama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, serta mendapat sokongan penuh daripada RPM Label selaku pihak pengurusan baharu bagi kumpulan berkenaan.
“Wings Sunday Night Live” dirancang bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan biasa, malah ia bertindak sebagai platform rasmi dan istimewa untuk Wings memperkenalkan karya-karya terbaharu mereka secara langsung kepada para peminat tegar. Selain itu, projek ini diharap dapat menyemarakkan lagi ekosistem industri seni muzik tempatan serta menyuntik semula kegairahan terhadap budaya persembahan secara langsung (live performance) dalam kalangan pencinta muzik rock tanah air.
Mengikut perancangan asal, siri ini sepatutnya digerakkan sebagai jelajah Rock To Rock Tour, namun atas beberapa kekangan teknikal tertentu, pihak penganjur mengambil keputusan untuk memfokuskan penganjuran di dua lokasi utama yang strategik.

Menurut Dato’ Awie, selain daripada mempersembahkan lagu-lagu baharu, Wings turut ingin mendapatkan maklumbalas orang ramai bagi penerimaan lagu-lagu tersebut.
‘..Kami bukan ghairah untuk mengeluarkan sesuatu barang untuk menunjuk..bukan ghairah nak beritahu kita ada album, sebenar kita dah banyak album, kita nak buat sesuatu biarlah penuh kepuasan dan kita ingin pendengar gembira dengan genre yang baharu..’ Ujar beliau lagi.
Dua lokasi ikonik yang telah dipilih untuk menjadi saksi kepada kemuncak keampuhan muzik Wings ialah pada 5 Julai 2026 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan 12 Julai 2026 di Hard Rock Cafe Melaka.
Dalam siri showcase ini, Wings dijanjikan bakal tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga dan penuh baur nostalgia selama satu jam setengah. Malah, mereka telah mengatur sebuah set senarai lagu (setlist) istimewa yang merangkumi sekitar 20 buah lagu. Para penonton yang hadir bakal dihidangkan dengan gabungan mantap lagu-lagu hits popular yang menjadi siulan sepanjang zaman, di samping seleksi karya segar daripada album Wings New Era.

Pas masuk sebanyak RM189 sahaja dan boleh didapati di Hard Rock Cafe berkenaan dan platform media sosial sayap-sayap Wings. Selain itu juga peminat berpeluang membeli baju edisi terhad dan eksklusif sebagai simbol kerjasama Hard Rock Cafe dan Wings dengan harga RM180 sehelai.
Pihak penganjur menjemput orang ramai, khususnya peminat genre rock, untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi menyaksikan sebuah malam yang sarat dengan tenaga, memori, dan kualiti muzik tahap tinggi yang pastinya akan meninggalkan impak mendalam.
