Ikuti Kami:

FINAS Gesa Henti Perkongsian Kandungan Cetak Rompak di Media Sosial

FINAS Gesa Henti Perkongsian Kandungan Cetak Rompak di Media Sosial

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengeluarkan amaran keras dan menggesa orang ramai agar menghentikan segera sebarang aktiviti perkongsian kandungan filem secara haram di seluruh platform media sosial dan digital.

Tindakan tegas ini diambil berikutan trend peningkatan salah laku penstriman tidak sah serta tabiat merakam slot tayangan secara terus di dalam panggung wayang yang jelas melanggar undang-undang hak cipta.

Perbuatan memuat naik atau menyebarkan filem tanpa kebenaran bukan sahaja satu jenayah digital, malah ia membawa impak buruk yang mampu melumpuhkan ekosistem industri kreatif negara.

Bukan itu sahaja, netizen yang gemar menggunakan platform tidak sah sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada ancaman siber yang serius dan berbahaya. Tindakan mengakses atau berkongsi kandungan melalui saluran haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membuka ruang kepada pelbagai risiko keselamatan yang boleh menjejaskan pengguna tanpa disedari.

FINAS Gesa Henti Perkongsian Kandungan Cetak Rompak di Media Sosial

Cetak rompak digital menjejaskan pendapatan industri perfileman secara keseluruhan. Justeru, orang ramai diminta bertanggungjawab. – Gambar hiasan

 

Antara ancaman utama termasuklah risiko kecurian data serta serangan perisian hasad (malware). Pengguna berpotensi menjadi mangsa kecurian maklumat peribadi, penipuan dalam talian (scam), selain terdedah kepada virus atau malware yang boleh merosakkan peranti dan mencuri data sensitif. Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan digital, malah boleh membawa kerugian kewangan dan pencerobohan privasi.

Selain itu, pautan daripada platform tidak sah juga sering dikaitkan dengan kandungan negatif yang tidak sesuai. Pengguna berkemungkinan terdedah kepada iklan perjudian dalam talian serta bahan pornografi yang boleh memberi impak buruk kepada moral dan kesejahteraan, khususnya dalam kalangan pengguna muda.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib menegaskan bahawa setiap karya kreatif yang dihasilkan menuntut kos yang tinggi, tenaga kerja yang besar, serta komitmen tidak berbelah bahagi daripada pelbagai pihak. Aktiviti cetak rompak ini secara langsung telah meragut pendapatan penggiat seni, membunuh peluang pekerjaan, dan menjejaskan pelaburan industri.

“Ramai yang menganggap perkongsian kandungan filem di media sosial atau akses melalui aplikasi dan pautan tidak sah sebagai perkara biasa, sedangkan tindakan tersebut bukan sahaja melanggar hak cipta, malah boleh mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan siber dan penyalahgunaan data peribadi,” jelas Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, CEO FINAS.

Sebagai langkah agresif, FINAS kini memperkukuh kerjasama pintar bersama barisan pemain industri, pengendali platform digital, serta agensi-agensi penguatkuasaan utama negara.

Gabungan strategik ini melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC/SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), CyberSecurity Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesemua agensi ini akan bergerak seiring menerusi program kesedaran dan advokasi digital demi mendidik masyarakat tentang kepentingan menggunakan saluran penstriman yang sah.

Pihak FINAS turut menyeru golongan penonton untuk menjadi mata dan telinga industri. Sebarang aktiviti mencurigakan atau pautan cetak rompak digital boleh dilaporkan terus kepada pihak berkuasa melalui e-mel rasmi pembanteras@finas.my.

Loading...