Ikuti Kami:

Syafiq Kyle & Beto Kusyairy ‘Berentap’ Dalam Filem Sarat Emosi & Aksi – HAK: Tuntut Atau Tunduk

Syafiq Kyle & Beto Kusyairy ‘Berentap’ Dalam Filem Sarat Emosi & Aksi – HAK: Tuntut Atau Tunduk

Astro Shaw umum produksi filem aksi drama terbaharu HAK: Tuntut Atau Tunduk berlatarkan komuniti Lembah Klang

 

PETALING JAYA – Buat pertama kalinya, peminat filem tempatan bakal disajikan dengan gandingan dua pelakon hebat, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy yang bakal berentap di layar perak. Mereka bakal menjayakan sebuah filem drama aksi terbaharu terbitan Astro Shaw yang berjudul HAK: Tuntut Atau Tunduk.

Naskhah yang kini masih dalam fasa produksi ini menjanjikan sebuah penceritaan berani yang mengangkat realiti kehidupan masyarakat masa kini yang terhimpit dengan tekanan ekonomi, cabaran kelangsungan hidup, dan pilihan sukar tatkala berada dalam keadaan terdesak.

Plot utama HAK: Tuntut Atau Tunduk tertumpu kepada perjalanan hidup Hakim (lakonan Syafiq Kyle), seorang pegawai operasi di sebuah pasar awam yang sedang bergelut dengan tekanan kewangan. Dalam keadaan terdesak untuk menyediakan keperluan menjelang kelahiran anak sulungnya, Hakim mula mengambil jalan mudah dengan mengambil kesempatan terhadap komuniti di sekelilingnya.

Syafiq Kyle & Beto Kusyairy ‘Berentap’ Dalam Filem Sarat Emosi & Aksi - HAK: Tuntut Atau Tunduk

Poster rasmi HAK: Tuntut Atau Tunduk.

 

Namun, kehidupannya berubah secara drastik apabila dia secara tidak sengaja menemui sebuah beg berisi wang dalam jumlah yang besar. Penemuan itu bukan sahaja menggugat prinsip hidupnya, malah membuka pintu kepada bahaya yang tidak dijangka. Hakim dan keluarganya mula menjadi sasaran pihak berbahaya yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengancam nyawa, demi mendapatkan semula wang tersebut.

Dalam situasi yang semakin genting, Hakim terpaksa berdepan dengan pilihan sukar antara mempertahankan apa yang dimilikinya atau melindungi orang tersayang. Persoalan utama yang menjadi nadi cerita ini adalah sama ada Hakim mampu menyelamatkan keluarganya sebelum segalanya menjadi terlambat.

Bagi memastikan visual naskhah ini tampak segar, realistik, dan dekat dengan kehidupan harian rakyat Malaysia, pihak produksi telah memilih lokasi penggambaran di sekitar pasar awam dan kawasan komuniti pangsapuri di sekitar Lembah Klang.

Filem yang mendebarkan ini mendapat sentuhan sutradara Ezrie Gazali, yang sebelum ini pernah mengarahkan Abah Saya Uncle Mike. Manakala skripnya pula digarap oleh penulis terkenal, Alfie Palermo berdasarkan idea asal daripada Santharuban Thurai Sundaram.

Syafiq Kyle & Beto Kusyairy ‘Berentap’ Dalam Filem Sarat Emosi & Aksi - HAK: Tuntut Atau Tunduk

Syafiq Kyle & Beto Kusyairy bergandingan julung kali dalam filem aksi sosial HAK: Tuntut Atau Tunduk.

 

Selain Syafiq dan Beto, karya pecah panggung ini turut membariskan nama-nama besar industri seperti Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar, dan Dato Fizz Fairuz.

Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad, meluahkan keterujaannya terhadap karya ini.

“Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik adalah buat pertama kalinya, kita dapat menyaksikan dua bakat hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar seperti ‘musang memburu ayam’ yang mendebarkan.”

Pemilik idea asal, Santharuban Thurai Sundaram mendedahkan bahawa cetusan idea filem ini lahir daripada pemerhatiannya terhadap perubahan landskap perniagaan di mana semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang yang akhirnya direbut dan dimajukan oleh pekerja asing.

“Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri, dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri.”

HAK: Tuntut Atau Tunduk diterbitkan secara usahasama oleh Astro Shaw, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, dan Icon Pictures. Ia turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik, Etika Sdn Bhd melalui jenama popular minuman mereka, 7UP dan Mirinda.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan menyatakan sokongan mereka adalah seiring dengan peluang untuk mengetengahkan perbualan sosial yang berlaku di sekeliling kita yang menyentuh aspek pekerjaan, rasa kebersamaan, dan maruah.

Loading...