‘PERTAMA’ Jadi Manifesto Perjalanan 10 Tahun Syamel Dalam Industri Muzik
- oleh Editor MYBUZZ
- 23 Jul 2026 12:22 pm
KUALA LUMPUR: Penantian selama 10 tahun akhirnya berbaloi buat penyanyi bersuara lantang, Syamel, apabila beliau secara rasminya melancarkan album sulung yang dinanti-nantikan berjudul PERTAMA.
Mula menjengah pasaran pada 24 Julai 2026, naskhah terbaharu ini bukan sekadar himpunan lagu biasa, sebaliknya ia bertindak sebagai sebuah manifesto yang merakamkan perjalanan jatuh bangun kerjaya seninya sepanjang sedekad mewarnai industri muzik tanah air.
Menurut Syamel, album PERTAMA memuatkan enam buah lagu yang disusun rapi umpama sebuah naskhah buku yang mengandungi enam babak penceritaan emosi. Setiap runut bunyi di dalam album ini menyelami tema universal seperti perasaan kehilangan, kerinduan, harapan, dan juga keberanian untuk memulakan lembaran baharu.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.
“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” jelas penyanyi itu.

Enam lagu, enam bab kehidupan — Syamel curah jiwa dalam ‘PERTAMA’
Mengulas mengenai pemilihan judul PERTAMA, Syamel mendedahkan bahawa ia membawa dua makna yang cukup mendalam. Selain menjadi penanda aras sebagai album sulungnya, perkataan itu turut melambangkan simbolik keberanian untuk terus bangkit selepas berdepan sebarang kegagalan, kehilangan, mahupun kekecewaan.
Pada masa yang sama, buah tangan ini merupakan satu dedikasi dan tanda terima kasih buat para peminat yang tidak jemu menyokongnya selama 10 tahun. Bagi memastikan kualiti album ini berada pada tahap tertinggi, Syamel telah bergabung tenaga dengan barisan komposer berkaliber tempatan termasuklah Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan, dan Adam Armin.
Demi mengekalkan identiti peribadi yang tulen, Syamel turut turun padang bertindak selaku penulis dan pencipta bagi tiga buah lagu iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan, dan Aku Bukan Dia. Tiga lagi karya yang melengkapkan album tersebut ialah Beribu Tanda Tanya, Tunjukkan Ku Bahagia, dan PERTAMA.
PERTAMA | Sebuah dokumentari oleh Syamel
Penyanyi itu berhasrat agar karya-karyanya mampu bertahan ujian masa dan tidak hanya dicipta untuk mengejar populariti semata-mata.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya lagi.
Syamel turut meletakkan harapan yang tinggi agar lagu-lagu di dalam naskhah ini mampu menjadi peneman setia buat pendengar, terutamanya ketika mereka sedang melalui saat yang paling sukar dalam kehidupan. Album PERTAMA kini sudah tersedia dan boleh dinikmati oleh semua peminat di kesemua platform penstriman digital utama.
