Ikuti Kami:

JAM Sasar Kuasa Beli Terbesar Malaysia, Lantik Scha Alyahya dan Awal Ashaari Sebagai Pengasas Bersama ‘JAM Bahasa’

JAM Sasar Kuasa Beli Terbesar Malaysia, Lantik Scha Alyahya dan Awal Ashaari Sebagai Pengasas Bersama ‘JAM Bahasa’

JAM lancar JAM Bahasa, Scha Alyahya & Awal Ashaari sertai sebagai Pengasas Bersama. – (Dari kiri) Scha Alyahya, Awal Ashaari, Jane Lau dan Hanpin Ma 

 

KUALA LUMPUR – Syarikat e-dagang penstriman langsung (live commerce) terkemuka di Malaysia, JAM, kini mengorak langkah agresif mempercepatkan strategi pertumbuhannya menerusi pelancaran segmen pasaran Melayu terbaharu yang dikenali sebagai JAM Bahasa.

Langkah pelebaran sayap ini turut disusuli dengan pembukaan sebuah studio produksi penstriman langsung eksklusif bagi menampung keperluan operasi yang semakin meningkat.

Bagi menerajui cabang perniagaan baharu ini, JAM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pasangan selebriti berpengaruh tanah air, Scha Alyahya dan Awal Ashaari. Menariknya, pasangan ini bukan sekadar dilantik sebagai duta jenama, malah secara rasminya menyertai syarikat tersebut sebagai pengasas bersama (co-founders).

JAM Sasar Kuasa Beli Terbesar Malaysia, Lantik Scha Alyahya dan Awal Ashaari Sebagai Pengasas Bersama 'JAM Bahasa'

Penstriman lansung premium kini dalam Bahasa Melayu, JAM perkenal segmen baharu bernilai tinggi. – Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong. 

 

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, pelancaran JAM Bahasa merupakan langkah besar pertama syarikat untuk meneroka pasaran di luar komuniti penonton berbahasa Cina.

“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live secara premium masih belum diteroka sepenuhnya,” jelas beliau.

Cherine menambah, kemasukan Scha dan Awal menyelaraskan kepentingan jangka panjang syarikat dan membuktikan model perniagaan mereka mempunyai kebolehskalaan (scalability) yang tinggi untuk dipraktikkan dalam pelbagai komuniti.

Lonjakan Perniagaan & Infrastruktur Premium

Sejak ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan trajektori pertumbuhan yang luar biasa. Pada tahun pertama operasinya, syarikat ini berjaya meraih Nilai Barangan Kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta. Angka tersebut melonjak tiga kali ganda pada tahun kedua, didorong oleh peningkatan sesi penstriman langsung serta kadar penukaran jualan yang lebih baik.

Pada masa ini, JAM berfungsi sebagai sebuah Rangkaian Multi-Saluran (MCN) menyeluruh yang menguruskan sekitar 10 orang pempengaruh utama (KOL) dan disokong oleh 20 kakitangan sepenuh masa. Syarikat ini juga menghasilkan lebih 300 jam kandungan penstriman langsung setiap bulan di bawah saluran Lazada.

Bagi menampung permintaan infrastruktur yang tinggi, JAM baru-baru ini melancarkan sebuah studio produksi eksklusif seluas 6,500 kaki persegi. Fasiliti serba moden ini dilengkapi dengan 13 bilik produksi yang mampu menawarkan perkhidmatan pengurusan e-dagang hujung-ke-hujung (end-to-end), merangkumi perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, sehinggalah pengurusan jualan masa nyata.

JAM Sasar Kuasa Beli Terbesar Malaysia, Lantik Scha Alyahya dan Awal Ashaari Sebagai Pengasas Bersama 'JAM Bahasa'

JAM rekod pertumbuhan tiga kali ganda, fokus perluasan segmen penstriman lansung Melayu dengan pelancaran sayap JAM Bahasa. Dari kiri: Jun Wei, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Cherine Fong, Jane Lau, Hanpin Ma dan Jia Wei.

 

Bukan Sekadar Duta Produk

Sementara itu, Scha Alyahya menyifatkan e-dagang penstriman langsung kini menjadi medium peruncitan yang sangat penting kerana pengguna menuntut pengalaman membeli-belah yang interaktif dan tulen.

“Sebagai pengasas bersama, saya terlibat dalam mencorakkan hala tuju perniagaan syarikat,” ujar Scha.

“Ini adalah usaha untuk membina sebuah platform yang dipercayai dan mampu memberi nilai buat pengguna serta jenama tempatan,” tambahnya lagi yang melihat pasaran berbahasa Melayu mempunyai potensi pertumbuhan yang amat luas.

Pasukan pengasas JAM turut dibarisi oleh usahawan dan pencipta kandungan terkenal, Jane Lau (Jane Chuck) dan Hanpin Ma yang mempertaruhkan kepakaran mereka dalam kandungan digital.

Melihat pada kejayaan model perniagaan sedia ada, JAM tidak mahu sekadar selesa di pasaran tempatan. Syarikat itu merancang untuk mengembangkan sayap perniagaannya ke pasaran Asia Tenggara, termasuk Thailand, pada suku pertama tahun 2027 bagi mencorakkan lanskap e-dagang sosial serantau yang lebih premium.

Loading...