Penuh Air Mata & Penyesalan, Fajar Noor Dedah Sisi Peribadi Menerusi ‘Sementara, Selamanya’
- oleh Editor MYBUZZ
- 30 Jun 2026 10:39 pm
KUALA LUMPUR — Penyanyi berbakat besar dari seberang, Fajar Noor, kembali mewarnai industri muzik dengan pelancaran album sulungnya berjudul “Sementara, Selamanya” yang menyalurkan segala emosi, air mata, serta harapan peribadi buat para pendengar.
Naskhah terbaharu ini disifatkan sebagai karya paling peribadi sepanjang perjalanan seninya kerana ia mengangkat naratif tentang ‘kitaran sebuah percintaan’ (cycle of love). Dari detik pertama jatuh cinta, berdepan badai konflik, fasa kehilangan, sehinggalah kepada perasaan tergantung yang ditinggalkan dalam hubungan yang belum benar-benar berakhir, semuanya dikupas secara mendalam.
Bukan sekadar sebuah kisah percintaan yang dramatik, ‘Sementara, Selamanya’ cuba membawa pendengar menyelami emosi-emosi pasca-perpisahan yang sering dihadapi ramai seperti rasa ralat, penyesalan, serta kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.
Bagi merealisasikan visi seni yang jujur ini, Fajar Noor telah menjalinkan kerjasama dengan barisan penerbit terkenal, Arsy Widianto dan Iqbal Siregar. Gabungan mereka berjaya melahirkan susunan muzik pop balada yang sederhana namun moden, sekali gus menyerlahkan kematangan vokal Fajar sebagai seorang pencerita.
Mengulas mengenai pembikinan album ini, Fajar mengakui proses meluahkan isi hati sendiri bukanlah satu tugas yang mudah.
“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” ujar Fajar.

“Cabaran terbesar adalah jujur dengan diri sendiri” – Fajar Noor pertaruh karya dari pengalaman hidup
Satu berita gembira yang pastinya mengubat kerinduan peminat tempatan, Fajar Noor mengumumkan bahawa beliau bakal menjejakkan kaki ke Malaysia tidak lama lagi bagi mempromosikan album sulungnya ini.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Fajar Noor menerusi satu sesi temu bual eksklusif yang disiarkan secara langsung di aplikasi TikTok bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak. Dalam sesi tersebut, penyanyi itu berkongsi berita gembira buat para peminatnya di Malaysia apabila mengumumkan perancangannya untuk hadir ke negara ini bagi mempromosikan album sulungnya, ‘Sementara, Selamanya’.
Lebih mengujakan, Fajar turut memaklumkan bahawa beliau sedang merancang untuk mengadakan sebuah persembahan album secara langsung (live showcase) buat julung kalinya di Malaysia. Persembahan intim itu bakal memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati lagu-lagu daripada album terbaharunya secara lebih dekat dan eksklusif.
Menurut Fajar, persembahan tersebut merupakan salah satu agenda utama dalam siri promosi albumnya, selain menjadi platform untuk beliau berinteraksi secara lebih rapat dengan peminat yang selama ini setia menyokong perjalanan seninya.
Buat masa ini, tarikh dan lokasi rasmi persembahan berkenaan masih dalam peringkat perancangan. Pihak Universal Music Malaysia dijangka mengumumkan maklumat lanjut mengenai acara tersebut dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi mereka serta akaun media sosial Fajar Noor.
“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live,” katanya penuh teruja.
Album penuh emosi Sementara, Selamanya kini sudah boleh dinikmati dan distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan KKBOX.
