Ikuti Kami:

100 Juta Strim Bukan Penamat! Nadeera Pertaruh ‘Cuba Jadi Aku’ Untuk Tawan Hati Pendengar Sekali Lagi

100 Juta Strim Bukan Penamat! Nadeera Pertaruh ‘Cuba Jadi Aku’ Untuk Tawan Hati Pendengar Sekali Lagi

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya mencipta fenomena luar biasa menerusi single hit ‘Bukan Lagi Kita’ yang mencatat lebih 100 juta penstriman di platform digital, penyanyi bersuara emas, Nadeera, kini bersedia untuk sekali lagi meruntun jiwa peminat muzik tempatan.

Meneruskan momentum cemerlangnya, Nadeera kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul ‘Cuba Jadi Aku’, sebuah naskhah terbitan Rocketfuel Entertainment yang sarat dengan emosi, kejujuran, serta keberanian dalam meluahkan rasa yang sering terpendam. Lagu ini mengangkat tema kesakitan, kekecewaan, dan pengkhianatan akibat ditinggalkan oleh insan yang pernah dicintai dan dipercayai sepenuh hati.

Lebih istimewa, naskhah ini menyaksikan gabungan magis komposer ternama Hael Husaini dan Iqie Hugh, di samping penglibatan Nadeera sendiri sebagai salah seorang komposer bagi menyuntik dimensi penceritaan yang lebih peribadi.

Sentuhan Hael Husaini, Iqie Hugh & Nadeera hidupkan emosi dalam ‘Cuba Jadi Aku’

 

Bakal mendominasi halwa telinga pendengar dengan paduan melodi pop balada kontemporari yang diadun bersama elemen rock moden yang dramatik, Cuba Jadi Aku membawa mesej yang cukup mendalam.

Bercakap mengenai single terbaharunya, Nadeera menyifatkan Cuba Jadi Aku sebagai antara naskhah yang paling dekat dengan jiwanya kerana ia membawakan mesej yang jujur dan relevan dengan pengalaman ramai.

“Apabila saya pertama kali mendengar lagu ini, saya terus merasakan kekuatan emosinya. Saya percaya ramai yang pernah berada dalam situasi di mana mereka terluka tetapi sukar untuk meluahkan apa yang dirasai,” jelasnya.

Tambahnya lagi, inti pati lagu ini menceritakan tentang harapan agar individu yang menyakiti itu dapat benar-benar menyelami serta memahami keperitan yang terpaksa ditanggung. Mesej ini ditegaskan lagi menerusi bait lirik korus yang menjadi nadi penceritaan: “Cuba kau, cuba jadi aku. Sedarkan kau yang mula semua dahulu?”.

Bagi menterjemahkan emosi lagu ini secara visual, video muzik rasmi (MV) Cuba Jadi Aku membawakan plot penceritaan kisah cinta yang diuji oleh kehadiran orang ketiga. Visual yang diarahkan untuk menambah impak emosi ini membariskan pelakon Bella Dowanna, Azri Safix, dan Ariana, di mana watak Ariana bertindak sebagai pencetus konflik dalam perhubungan tersebut.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Encik Mathan Rajasingam, meluahkan rasa bangga terhadap evolusi seni Nadeera yang sentiasa menunjukkan peningkatan. Beliau menyifatkan kejayaan Bukan Lagi Kita sebagai bukti kekukuhan Nadeera sebagai penghibur, dan optimis bahawa Cuba Jadi Aku akan menyerlahkan lagi sisi kematangan vokalnya.

“Kami juga sangat berbangga dengan pencapaian beliau yang semakin menyerlah termasuk peluang mewakili Malaysia di pelbagai pentas antarabangsa,” katanya yang yakin karya terbaharu ini mempunyai resipi lengkap untuk terus melekat di hati masyarakat.

‘Cuba Jadi Aku’ kini sudah sedia untuk didengari dan distrim secara rasmi di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak diluncurkan bermula 27 Jun lalu.

Loading...