Ikuti Kami:

PM Lancar Pasport Malaysia Baharu: 94 Ciri Keselamatan, Sah Laku Sehingga 10 Tahun

PM Lancar Pasport Malaysia Baharu: 94 Ciri Keselamatan, Sah Laku Sehingga 10 Tahun

KUALA LUMPUR – Kerajaan melangkah setapak lagi ke hadapan dalam memodernisasikan sistem dokumen perjalanan negara dengan pelancaran rasmi Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Baharu.

Menariknya, pasport versi terbaharu ini kini menawarkan pilihan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, satu kemudahan yang amat dinantikan oleh rakyat Malaysia.

Majlis peluncuran bersejarah itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Mulai 1 Julai 2026, warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas diberikan fleksibiliti untuk memilih tempoh sah laku pasport mengikut kesesuaian dan keperluan peribadi mereka iaitu Pilihan 1 bagi Tempoh sah laku 5 tahun (seperti sedia ada) dan Pilihan 2 bagi Tempoh sah laku 10 tahun (pilihan baharu).

Langkah ini bukan sahaja memberikan penjimatan masa malah mengurangkan kekerapan urusan pembaharuan pasport bagi mereka yang sering mengembara ke luar negara.

Bukan sekadar memanjangkan tempoh sah laku, PMA Baharu ini merupakan satu transformasi besar dalam aspek keselamatan negara. Dokumen ini dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan canggih yang mematuhi piawaian antarabangsa, merangkumi elemen Visual iaitu reka bentuk fizikal yang mudah dikenal pasti ketulenannya, elemen Tersembunyi iaitu ciri digital dan mikroteks yang sukar dikesan dengan mata kasar dan elemen Forensik iaitu sistem perlindungan berteknologi tinggi bagi mengekang sebarang cubaan pemalsuan, pengubahsuaian, dan penyalahgunaan identiti.

“Pelancaran PMA Baharu ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan imigresen yang lebih moden, cekap dan selamat,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengumumkan bahawa pengeluaran PMA Baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat di pejabat-pejabat pasport seluruh negara bermula hari ini (1 Julai).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa untuk menukar pasport mereka. Pasport sedia ada yang dipegang oleh rakyat ketika ini masih sah digunakan seperti biasa sehinggalah tempohnya berbaki 6 bulan sebelum tamat.

Majlis peluncuran tersebut yang diadakan pada 30 Jun 2026 turut menyaksikan penyerahan simbolik PMA Baharu oleh Ketua Pengarah Imigresen, YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban kepada YAB Perdana Menteri, sambil disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, dan Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman.

Dengan pengenalan teknologi terbaharu ini, kedudukan Pasport Malaysia dijangka terus kekal kukuh sebagai antara dokumen perjalanan yang paling dipercayai, berprestij, dan dihormati di peringkat global.

Loading...