MIXUE Malaysia Kongsi Kemanisan Ramadan Bersama Anak-Anak Yatim
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Mar 2026 11:03 am
MELAKA – Dalam semangat menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, MIXUE Malaysia tampil melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertajuk “Program Kongsi Manis Bersama MIXUE” dengan kerjasama Universiti College Agroscience Malaysia (UCAM) di Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Melaka.
Program yang berlangsung dalam suasana mesra itu berjaya menghimpunkan kira-kira 60 peserta terdiri daripada sukarelawan serta rakan kerjasama, yang meluangkan masa berkualiti bersama 35 orang anak-anak yatim di rumah kebajikan berkenaan. Sebanyak 100 minuman MIXUE turut diagihkan bersama barangan cenderamata dan duit raya, sekali gus menceriakan wajah anak-anak tersebut serta mencipta kenangan manis sepanjang Ramadan.
Selain itu, program ini turut diserikan dengan sesi interaksi santai antara sukarelawan dan penghuni rumah kebajikan, diikuti majlis berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana penuh kegembiraan dan keakraban. Inisiatif ini dilihat sebagai satu usaha murni dalam memupuk nilai keprihatinan, semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan komuniti.
Terdahulu, MIXUE Malaysia juga memainkan peranan sebagai penaja utama dalam satu inisiatif komuniti di Bazaar Ramadan Alor Gajah dari 2 hingga 11 Mac 2026. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 1,400 minuman percuma telah diagihkan kepada para pengunjung bazar sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan di bawah inisiatif MYSaveFood oleh UCAM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pengurangan pembaziran makanan di samping menyebarkan nilai kemanusiaan dan sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.
Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kemasyarakatan seperti ini, MIXUE Malaysia terus komited menyumbang kepada pembangunan sosial serta menyemai nilai kebaikan, kemurahan hati dan perpaduan sepanjang bulan Ramadan.





