TV AlHijrah Lancar Kempen Syawal “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang” Dengan Pengisian Tontonan Holistik 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Mar 2026 3:24 pm
KUALA LUMPUR – Menyemarakkan lagi ketibaan bulan Aidilfitri pada tahun ini, stesen penyiaran TV AlHijrah tampil dengan rangkaian program istimewa menerusi kempen Syawal bertemakan “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang”. Kempen ini dirangka khusus untuk menyemai kembali nilai-nilai murni kekeluargaan, mengukuhkan ikatan silaturahim, serta menebarkan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Penawaran kandungan bagi musim perayaan kali ini disusun dengan penuh teliti bagi memastikan penonton di rumah dapat menikmati sebuah pengalaman tontonan yang holistik. Ia merangkumi gabungan harmoni antara elemen hiburan, pengisian kerohanian, nilai pendidikan, dan kekeluargaan yang bermula dari malam ambang raya sehinggalah kepada program kanak-kanak.
Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, menjelaskan bahawa pemilihan program dalam kempen ini dilakukan secara strategik bagi memberikan rasa kesiapan menyambut 1 Syawal.
Susunan program yang bermula dari malam menjelang raya hingga ke episod kanak-kanak ini menjamin pengalaman tontonan Syawal yang berlapis, di mana ia merangkumkan hiburan, pendidikan, dan keinsafan dalam satu kempen yang sama.

Bagi menyemarakkan suasana perayaan, TV AlHijrah telah menyusun rangkaian program istimewa yang menghidupkan nilai kekeluargaan dan semangat Syawal. Antara pembuka tirai ialah Salam Lebaran Raya, yang bersiaran pada jam 9 malam menjelang 1 Syawal. Dikendalikan oleh Ustaz Izmir Fareez dan Faizal Ismail (FBI), program ini menampilkan alunan takbir raya, ucapan perantau serta persembahan istimewa daripada artis terkenal seperti Raihan, DJ Dave, Mawi dan Ezad Lazim. Sentuhan muzik dan rohani ini menjadikan malam raya lebih bermakna.
Kemeriahan turut diteruskan ke pagi Aidilfitri menerusi Assalamualaikum Khas Syawal, yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 10 pagi sepanjang tiga hari pertama Syawal. Ditemani hos popular termasuk Abu Talib dan Naufal Hatta, program ini membincangkan topik berkaitan adab berhari raya, hubungan kekeluargaan serta nilai kasih sayang, menjadikannya pengisian penuh makna untuk memulakan pagi Syawal bersama keluarga.

Selain itu, program penuh emosi Ini Kisahku Raya akan ditayangkan pada Sabtu, 21 Mac 2026, jam 8.30 malam. Program ini membawa penonton menyelami suasana sambutan Syawal yang sederhana tetapi sarat dengan kerinduan dan doa di Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia. Kisah-kisah yang dipaparkan membuka ruang untuk penonton menghargai makna kesyukuran dan empati dalam menyambut Aidilfitri.

Khas untuk penonton kanak-kanak, Jom Dengar Cerita Istimewa Aidilfitri bersiaran pada 2 dan 3 Syawal, jam 8.30 malam. Dihoskan oleh Tilmiz Fahmi, program ini menekankan nilai pendidikan, adab berhari raya dan penghormatan sesama insan. Kehadiran adik-beradik KuMika dan KuFina menambah keceriaan, menawarkan pengalaman Syawal dari perspektif kanak-kanak yang penuh kejujuran dan kelucuan.

Bagi peminat drama keluarga, kempen ini turut menampilkan dua telefilem yang sarat dengan mesej pengajaran. Pada malam raya pertama, telefilem Menantu Datuk Nikah Kahwin mengangkat kisah seorang tok kadi terkenal, lakonan Nasir Bilal Khan, yang tercabar egonya apabila anak bongsunya pulang bersama seorang mualaf Inggeris. Diterbitkan oleh Luqsar Kreatif dan diarahkan oleh Heykal Hanifah, telefilem berdurasi 120 minit ini turut menampilkan Amyza Aznan serta Daler Yusuf dalam watak-watak penting.

Menyusul pada malam raya kedua, telefilem Surat Dari Syurga arahan Pali Yahya pula membawa penonton mengikuti perjalanan Amir, seorang pempengaruh yang alpa dalam keselesaan hidup sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai anak dan hamba Allah. Lakonan Izzue Islam, bersama Dato’ Tarmimi Siregar, Hanna Farisha dan Meor Mohamed, menghidupkan kisah penuh penyesalan dan keinsafan yang tercetus daripada doa serta surat penuh kasih seorang ayah.
Dengan tayangan kandungan-kandungan berkualiti ini, TV AlHijrah menaruh harapan besar agar nilai kekeluargaan, keinsafan, dan silaturahim dapat dihidupkan semula di setiap ruang tamu penonton di seluruh negara.
