Ikuti Kami:

MIGHT dan PNSB Jalin Kerjasama Strategik, Pacu Industri Teknologi Tinggi di Selangor

MIGHT dan PNSB Jalin Kerjasama Strategik, Pacu Industri Teknologi Tinggi di Selangor

CYBERJAYA – Selangor kini mengukuhkan kedudukannya sebagai hab industri berteknologi tinggi menerusi kolaborasi strategik terbaharu antara Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Memorandum Kolaborasi (MoC) yang dimeterai hari ini bertujuan untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dan meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi, sekali gus memastikan agenda sains, teknologi, dan inovasi (STI) negara memberi impak ekonomi yang nyata.

Menerusi kerjasama ini, MIGHT akan menerajui pembangunan tiga kluster industri utama yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan besar iaitu pertama, Aeroangkasa dimana Sektor ini menunjukkan pemulihan luar biasa dengan lonjakan hasil daripada RM11.6 bilion pada 2020 kepada RM25.1 bilion pada 2024. Kedua, Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR) dimana Malaysia kini berada di kedudukan ke-16 dunia dan sedang giat beralih ke arah teknologi hijau serta digital dan ketiga, Sains Hayat dimana pembangunan kluster ini di Bukit Beruntung bakal menjadi pemangkin kepada industri peranti perubatan, bioteknologi, dan kesihatan digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, menekankan bahawa pendekatan ini menghubungkan perancangan strategik terus dengan keperluan industri di lapangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Ts. Rushdi Abdul Rahim, menyatakan bahawa kolaborasi ini menandakan peralihan peranan MIGHT daripada sekadar penasihat kepada rakan pelaksana strategik. “Fokus kami kini adalah menterjemahkan pelan strategik kepada pelaburan dan inovasi berimpak tinggi secara proaktif,” ujar beliau.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Tuan Ng Sze Han, menyambut baik inisiatif ini yang dianggap selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Selangor.

Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran laporan Malaysia Smart City Outlook 2026-2030. Laporan ini menggariskan hala tuju pembangunan bandar pintar yang mampan, termasuk reka bentuk bandar responsif terhadap perubahan iklim, infrastruktur bandar yang berdaya tahan dan penguatan penyertaan digital dalam kalangan komuniti. Laporan ini dilihat saling melengkapi dengan usaha MIGHT dan PNSB dalam memacu pembangunan berteraskan teknologi tinggi demi kesejahteraan rakyat dan daya saing global Malaysia.

Loading...