Kisah Karamjit Singh Ke Layar Perak! Astro Shaw Umum Barisan Pelakon Filem Rali Epik ‘TERBANG’
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Apr 2026 2:45 pm
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal disajikan dengan sebuah karya epik penuh adrenalin! Sempena majlis Terbang Rumah Terbuka Raya anjuran Astro Shaw hari ini, pihak produksi akhirnya mendedahkan barisan pelakon utama bagi filem terbaharu mereka, TERBANG. Lebih menarik, filem bergenre aksi sukan ini diinspirasikan daripada liku-liku perjalanan sebenar lagenda rali negara bertaraf dunia, Karamjit Singh.

Diarahkan oleh sutradara tersohor Chiu Keng Guan (pengarah OlaBola dan The Journey), naskhah ini menjanjikan satu penceritaan sinematik yang bukan sahaja mendebarkan, malah cukup menyentuh emosi penonton.
Naratif utama TERBANG berkisar tentang watak Ajeet, seorang bekas pelumba rali yang membuat keputusan untuk meninggalkan dunia sukan permotoran selepas terlibat dalam satu insiden kemalangan yang tragis. Demi mencari ketenangan hidup bersama isterinya, Lisa, Ajeet cuba melupakan masa lalunya.
Namun, takdir mempunyai perancangan berbeza apabila dia kembali ditarik ke dalam arena perlumbaan dan berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia bersama pasukan PERT di pentas antarabangsa.

Barisan pelakon yang didedahkan dalam majlis yang penuh bermakna itu menampilkan nama-nama besar seperti Zizan Razak, Diana Danielle, Nam Ron, Irfan Zaini, Jack Tan, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Shweta Sekhon, dan Michael Helfman.
Bertepatan dengan tema dunia rali yang penuh tenaga, Astro Shaw turut mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama jenama minuman berkarbonat terkenal, STING. Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif TERBANG, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu sinergi yang unik dan bersesuaian dengan elemen kelajuan serta intensiti filem tersebut.
Hari ini juga, kami memperkenalkan rakan strategik, STING yang sinonim dengan jenama minuman bertenaga pilihan ramai. Selari dengan tema filem ini mengenai dunia perlumbaan rali yang penuh intensiti, kami yakin kolaborasi ini memperlihatkan satu sinergi unik. Kami tidak sabar untuk mempersembahkan filem TERBANG yang akan berada di pawagam tidak lama lagi,” ujar beliau.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan. Beliau menegaskan bahawa nilai yang dibawa oleh STING amat selari dengan mesej kebangkitan dan ketahanan diri yang diketengahkan di dalam filem ini.
“Bagi STING, TERBANG bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah kisah tentang ketahanan diri, keberanian dan semangat untuk bangkit semula, nilai yang amat dekat dengan jenama kami,” ujarnya.
Menerusi kolaborasi strategik ini, pelbagai kempen interaktif dan kandungan digital eksklusif dijangka akan mewarnai platform media sosial menjelang pelancaran filem tersebut kelak.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan sokongan pelbagai pihak termasuk rakan inovasi U Mobile, dan jenama-jenama ikonik negara seperti PROTON, PETRONAS, dan Malaysia Aviation Group (MAG) , TERBANG pastinya menjadi antara naskhah tempatan yang paling dinanti-nantikan. Sama-sama kita nantikan kemunculannya di pawagam seluruh negara tidak lama lagi
